Muhyiddin tergugat kerana Pas tidak setia - Faiz Fadzil
Irwan Muhammad Zain
Oktober 28, 2020 11:42 MYT
Oktober 28, 2020 11:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini umpama telur di hujung tanduk adalah disebabkan sikap Pas yang tidak setia sepenuhnya kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Demikian disifatkan Anggota Jawatankuasa Parti Amanah Nasional Faiz Fadzil yang mendakwa, biarpun Pas bersetuju menyertai Perikatan Nasional (PN), parti itu tetap memberi keutamaan kepada Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO.
Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, Pas telah membentuk kerjasama rasmi dengan UMNO sebelum berlaku 'Langkah Sheraton' yang membolehkan Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri.
"Kedudukan Muhyiddin yang semakin goyang ini sebenarnya bukan hanya kerana permainan politik UMNO, tetapi kerana Pas yang tidak setia sepenuhnya kepada Muhyiddin kerana masih bermain mata dengan UMNO.
"Walaupun Pas memilih untuk turut menyertai PN, tetapi MN masih menjadi keutamaan, maka tidak mustahil UMNO dan Pas sedang merencana strategi baharu untuk memintas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
"Pas yang beberapa kali mengkhianati gabungan politik sebelum ini, sudah pasti mereka boleh melakukannya sekali lagi," katanya.
Faiz juga mendakwa pengaruh Muhyiddin dalam kalangan rakyat semakin merosot akibat tindakan kerajaan PN mempertahankan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 selepas pulang dari Turki.
"Menteri PAS tersebut dikritik teruk oleh rakyat dan memberikan imej negatif kepada Muhyiddin kerana sikap double standard. Kini, rakyat tidak lagi peduli jika Muhyiddin tersingkir," katanya lagi.
Pas juga, dakwa Faiz, menyokong permohonan pengisytihatan darurat biarpun sedar tidak wujud keperluan sedemikian di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu, sikap Pas yang menyokong permohonan pengisytihatan darurat itu antara punca yang menyebabkan Muhyiddin tidak dapat bertahan sebagai perdana menteri.
"Hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kini ibarat telur di hujung tanduk. Mampukah Muhyidin bertahan dengan sikap munafik PAS dalam politik ini? Hanya masa yang menentukan," katanya.
#Faiz Fadzil
#Parti Amanah Negara
#Amanah
#PAS
#UMNO
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Perikatan Nasional
#Muafakat Nasional
#Pakatan Harapan
#politik
#kerajaan
#COVID-19
#SOP
#Bersatu
#setia
#pengaruh merosot