"Muhyiddin tak menentang saya, saya pun tak menentang dia" - Tun Dr Mahathir
Ridauddin Daud
Jun 6, 2023 18:16 MYT
Jun 6, 2023 18:16 MYT
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan kerjasama antara kedua-dua bekas perdana menteri itu.
Pertemuan itu akan diatur selepas Muhyiddin tidak hadir pada Sidang Meja Bulat Majlis Presiden Proklamasi Orang Melayu (POM) pada Selasa.
Begitupun, Dr Mahathir menegaskan meskipun tidak hadir, Ahli Parlimen Pagoh itu sudah menyatakan sokongan untuk menyokong gerakan itu.
“Saya akan ada pertemuan tapi dia (Muhyiddin) dah menyatakan pendirian dia. Dia sokong proklamasi, dan dia tdak menentang saya.
“Saya pun tak menentang dia. Ini semua public knowledge.
“(Adakah kerjasama ini untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)?) Itu kita akan bincang. Ada kemungkinan kita akan bertanding dalam PRN…kalau kita dapati itu kehendak kesemua daripada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menyertai Sidang Meja Bulat Majlis Presiden Proklamasi Orang Melayu di Kuala Lumpur pada Selasa.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, ketika ditanya adalah beliau akan mempertimbangkan bertanding dalam PRN kali ini, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau tidak akan bertanding.
“Tak adalah, saya dah tua, nak tengok saya nyanyuk ke?
“Saya tak faham, orang di luar negeri jemput saya bercakap berkenan macam mana dunia akan datang.
“Jepun panggil, Korea Selatan panggil…balik sini orang tanya saya bila saya nak bersara,” ujarnya.
Astro AWANI pada Jumaat lepas melaporkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir demi perjuangan membela agama, bangsa dan negara.
Muhyiddin berkata, beliau menyambut baik kenyataan bekas Perdana Menteri berkenaan yang bersedia bekerjasama dengannya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
Sebelum ini, Dr Mahathir mengakui beliau bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.