"Muhyiddin tak faham kebebasan bersuara Ahli Parlimen" - Nazri

Astro Awani
Julai 10, 2024 07:00 MYT
Kenyataan Muhyiddin (kiri) menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak memahami kebebasan bersuara yang dimiliki oleh seorang Ahli Parlimen, tegas Nazri.
KUALA LUMPUR: Keputusan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekal kerusi enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah tepat, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri menegaskan, keputusan yang dibuat Johari itu bertepatan dengan semangat Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini.
Beliau juga menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara tersebut sebenarnya dangkal berbanding keputusan Johari.
Katanya, kenyataan Muhyiddin itu menunjukkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak memahami kebebasan bersuara yang dimiliki oleh seorang Ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen mempunyai kebebasan bersuara ketika dalam Dewan Rakyat yang mana perkara itu sepatutnya difahami oleh seorang yang senior seperti Muhyiddin.
“Akta Anti Lompat Parti diwujudkan dengan melindungi hak kebebasan bersuara setiap Ahli Parlimen.
“Ada masanya Ahli Parlimen Pembangkang akan memberi sokongan terhadap Rang Undang-Undang yang dibawa oleh kerajaan dan perkara ini telah berlaku sebelum ini.
“Bila enam Ahli Parlimen Bersatu memberi sokongan kepada kerajaan ia sama seperti tindakan Ahli Parlimen Pembangkang yang menyokong RUU yang dibawa kerajaan sebelum-sebelum ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada Rabu, Muhyiddin mengesahkan Johari telah membuat keputusan mengekalkan enam Ahli Parlimen partinya sebagai wakil rakyat biarpun Bersatu telah menghantar notis kekosongan kerusi dengan tindakan mereka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhyiddin menegaskan, pihaknya kecewa dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.
Katanya, Johari telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menjelaskan, Akta Lompat Parti diluluskan bertujuan untuk tidak berlaku pilihan raya kecil tanpa sebarang sebab yang munasabah.
“Salah satu tujuan diadakan Akta Lompat Parti adalah untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya kecil kerana kita mahu menjimatkan kos.
“Kita tidak mahu pilihan raya kecil dibuat disebabkan oleh parti memecat Ahli Parlimennnya, ini akan menyebabkan duit rakyat dibazirkan,” katanya lagi.
Mohamed Nazri juga menjelaskan, Akta Lompat Parti diwujudkan bagi memastikan tidak lagi berlaku tindakan menjatuhkan kerajaan sepertimana sebelum ini.
“Apa yang dilakukan oleh enam Ahli Parlimen Bersatu itu adalah untuk mengukuhkan kerajaan bukan menjatuhkan.
“Mereka tidak perlu mengosongkan kerusi kerana menyokong kerajaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan, di Parlimen yang berkuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi adalah Speaker Dewan Rakyat bukan Presiden mana-mana parti.
#Dewan Rakyat #Muhyiddin Yassin #Mohamed Nazri Abdul Aziz #Ahli Parlimen Bersatu