Muhyiddin sudah tak berminat dengan UMNO - Puad Zarkashi

Bernama
Jun 27, 2016 13:35 MYT
PUAD: Muhyiddin kata bahawa darah dan dagingnya adalah UMNO tapi kenapa dia tak merayu, sebab itu saya rasa bahawa dia tahu dia sudah 'cross the line'.
Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak membuat sebarang rayuan selepas digantung mahupun dipecat daripada UMNO menunjukkan bekas timbalan presiden itu tidak lagi berminat untuk bersama parti.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata UMNO sentiasa memberi peluang kepada anggotanya untuk membuat rayuan namun peluang itu tidak digunakan Muhyiddin dengan sebaik-baiknya.
Beliau juga menyifatkan tidak timbul isu dakwaan Muhyiddin tidak mendapat surat tunjuk sebab daripada Majlis Tertinggi UMNO mahupun Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti kerana beliau tahu had mana yang membenarkan surat berkenaan dikeluarkan ataupun tidak.
"Dia (Muhyiddin) kata bahawa darah dan dagingnya adalah UMNO tapi kenapa dia tak merayu, sebab itu saya rasa bahawa dia tahu dia sudah 'cross the line'.
"Pada saya dia sudah tidak lagi berminat untuk bersama dalam perjuangan UMNO. Kalau dia rasa tak adil, merayulah kenapa dia tak dikenakan surat tunjuk sebab, sebab dia pernah menjadi Timbalan Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan mengendalikan banyak kes-kes tatatertib ini," katanya.
Mohd Puad berkata demikian kepada pemberita sempena Program Kasih Ramadan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang turut dihadiri kira-kira 1,000 kakitangan jabatan tersebut di sini, malam tadi.
Jumaat lepas, UMNO memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin, manakala Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi UMNO menerima laporan daripada Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti.
Ditanya mengenai UMNO Bahagian Pagoh yang tidak berpuas dengan pemecatan Muhyiddin, Mohd Puad berkata UMNO bahagian itu mungkin merasa tertekan dengan tindakan parti yang memecat ketua mereka.
"Saya rasa alasan mereka untuk menolak keputusan Majlis Tertinggi adalah tidak kukuh tetapi kami faham bahawa mungkin ketika ini mereka agak tertekan dan pada saya biarlah mereka mengambil masa untuk memikirkan secara lebih bijaksana keputusan tersebut.
"Biar mereka diberi lebih banyak masa untuk berfikir...mungkin ketika ini mereka sedang beremosi," katanya.
#Majlis Tertinggi UMNO #Muhyiddin Yassin #Puad Zarkashi #rayuan #UMNO
;