Muhyiddin seru tinggalkan UMNO

Sinar Harian
November 28, 2023 10:00 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan 'fatwa' harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu.
KEMAMAN : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan 'fatwa' harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu.
Menurutnya, tindakan itu wajar dilakukan kerana UMNO sudah 'hancur' akibat perbuatan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"(Saya menyeru) Kawan-kawan lama saya, orang UMNO lupakanlah UMNO. Apa hukumnya? Harus, mungkin juga sunat agaknya.
"(Tinggalkan UMNO) Dapat pahala hijrah, macam (zaman) Rasulullah SAW, hijrah meninggalkan yang lama, zaman-zaman gelap kerana UMNO sudah hancur dibuat oleh Zahid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana di Dataran Bazar Kampung Baru, Kerteh pada malam Isnin.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut mencadangkan agar ahli UMNO yang ingin berhijrah boleh menyertai Bersatu atau Pas.
“Kalau pun belum bersedia nak masuk (PN) tak apa, dalam PRK (Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini, mu (kamu) masuk kat tempat buang undi, pangkah inilah (Pas), jangan pangkah itu (BN),” katanya.
Pada Februari lalu, Muhyiddin turut menyeru ahli-ahli UMNO meninggalkan parti itu kerana tindakan berkenaan disifatkan sebagai satu ibadah.
Jelasnya, langkah itu adalah satu perbuatan yang meninggalkan kemungkaran dan menegakkan kebenaran. - Sinar Harian
#PRK Kemaman #tinggalkan UMNO #Muhyiddin Yassin #umno sudah hancur
;