Muhyiddin perlu mulakan konsultasi biparti demi negara - Fuziah Salleh

Astro Awani
Oktober 29, 2020 14:16 MYT
FUZIAH: Ia wajar untuk Perdana Menteri memulakan proses konsultasi tersebut ketika ini dan memberikan ruang kepada semua ahli Parlimen untuk meneliti keseluruhan Belanjawan yang dicadangkan kerajaan. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa proses konsultasi biparti antara kerajaan dan pembangkang dimulakan tanpa berlengah lagi.
Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh dalam satu kenyataan berkata kerapuhan dan ketidakstabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mendorong kepada keperluan mendesak agar proses konsultasi biparti oleh konsultasi biparti dimulakan demi kepentingan negara.
Justeru, kata Fuziah, Wanita PKR mendesak Muhyiddin untuk memulakan proses perbincangan itu demi mempertahankan prinsip semak dan imbang dan menyikapi semangat demokrasi sebagai tunjang institusi Parlimen.
“Ia wajar untuk Perdana Menteri memulakan proses konsultasi tersebut ketika ini dan memberikan ruang kepada semua ahli Parlimen untuk meneliti keseluruhan Belanjawan yang dicadangkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi sayap wanita parti itu.
Sumber Facebook wanitakeadilan.my
Selain itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berpandangan bahawa Belanjawan 2021 yang dicadangkan mesti menumpukan kepada kesejahteraan rakyat.
“Dalam berdepan cabaran pandemik dan implikasi pasca pandemik yang masih melingkari kehidupan rakyat, Wanita Keadilan juga berpandangan bahawa Belanjawan yang dicadangkan mestilah menumpukan kepada kesejahteraaan rakyat khususnya yang terkait rapat dengan isu pengangguran kritikal dalam kalangan belia, kehilangan pekerjaan akibat pandemik serta unjuran kemiskinan multi dimensi yang semakin meningkat.
“Wanita Keadilan juga bertegas bahawa Belanjawan yang akan dibentangkan mestilah inklusif, melindungi golongan rentan serta mengutamakan belanjawan yang responsif jantina, khususnya melihat kepada isu-isu sosial yang terkait dengan impak pandemik,” katanya.
#Muhyiddin Yassin #konsultasi biparti #Fuziah Salleh #Wanita PKR #kerajaan #pembangkang #Ketua Wanita PKR #kepentingan negara #prinsip semak dan imbang #Belanjawan 2021 #Parti Keadilan Rakyat
;