Muhyiddin nafi dakwaan pemberian kontrak NIISe kepada menantu
Faida Rahim
Februari 9, 2023 23:55 MYT
Februari 9, 2023 23:55 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad.
Dalam hantaran di Facebooknya, beliau menyifatkan tuduhan ini sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.
“Saya merujuk kepada laporan portal Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya saya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu saya.
“Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.
“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu,” tulisnya.
Dalam pada itu beliau mendakwa ini merupakan sebahagian siri tohmahan jahat dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan -Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?.
“Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain,” tegasnya.