Muhyiddin, Mukhriz dicabar sokong Tun M dalam isu DAP
Wan Syamsul Amly
Disember 8, 2016 08:08 MYT
Disember 8, 2016 08:08 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dicabar menyatakan pendapat sama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu DAP.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, presiden dan naib presiden PPBM itu seharusnya tidak terlalu lambat untuk membuat kenyataan rasmi mengenai pendirian pengerusi mereka.
"Pengerusi PPIM sangat jelas telah memuji dan ingin sehidup semati dengan DAP. Baginya DAP kini segala galanya adalah baik dan tiada cacat cela.
"Kenyataannya yang menyebut bahawa selama 22 tahun pandangannya pada DAP adalah silap adalah suatu yang sangat mengejutkan namun tidak mustahil disebut oleh Tun M kerana beliau dilihat sudah tiada pilihan.
"Bagi saya jika PPBM bersendirian, mereka kemungkinan akan menemui jalan mati, justeru itu pilihan yang ada hanyalah berada di bawah ketiak DAP," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.
Dr Mahathir pada Persidangan Tahunan DAP baru-baru ini mengaku bahawa pandangan beliau dahulu tentang DAP adalah tidak benar.
Bagi Dr Mahathir, DAP adalah parti yang mewakili pelbagai kaum, bukan hanya kaum Cina semata-mata.
Bagaimanapun tegas Shamsul, Dr Mahathir tahu bahawa DAP amat sensitif bagi orang Melayu dan Islam.
"Maka kerana itu cara yang ada pada Tun M ialah membersikan imej DAP di mata orang Melayu dan Bumiputera.
"Jadi kerana itu kenyataan yang begitu berbeza berbanding 22 tahun beliau menjadi perdana menteri telah dilakukannya. Jadi pada saya inilah kenyataan paling hipokrit yang pernah didengari.
"Lebih malang disebut oleh seorang negarawan. Apapun yang lebih menarik mahu didengari ialah apa kata Muhyiddin dan Mukhriz mengenai DAP. Jika mereka berdiam diri dan tidak membuat apa kenyataan berkaitan kenyataan Tun M itu, ia bagi saya bermakna mereka bersetuju dan sependapat dengan Tun M," jelasnya.
Apapun ujar Shamsul, pendirian Tun M lebih elok dianggap pendirian PPIM kerana beliau adalah pengerusi PPBM.
"Jika ini keadaannya saya juga ingin sebut kenyataan Muhyiddin dan Mukhriz yang dulu sebut parti mereka sama perjuangannya seperti UMNO malah mendakwa ia lebih baik daripada UMNO, adalah pembohongan semata mata.
"Bagi saya, nampak jelas PPBM ni sedang tercari cari hala tuju dan matlamatnya. Sewaktu Konvensyen Pakatan Harapan mereka hampir menandatangani perjanjian tetapi tidak bersetuju akhirnya dan sekarang masih belum membuat apa-apa keputusan.
"Sebab itulah saya ingin nyatakan kepada rakyat kalau asas penubuhan parti ini lebih kepada dendam peribadi, inilah keadaan yang terjadi," katanya.
Tambahnya, PPBM sebenarnya masih terkapai-kapai mencari hala tuju parti.
"Justeru itu kepada rakyat janganlah kita perjudikan masa depan dengan meletakkan harapan kepada parti dan pemimpin yang tidak jelas arah perjuangannya.
"Malah bersekongkol pula dengan parti yang jelas ada niat terselindung, masing-masing mempunyai matlamat yang berbeza, maka pasti sukar mereka mahu bersama dalam perjuangan yang ikhlas.
"Amalan guna menguna dan kuda mengkuda akan berlaku sesama mereka yang akhirnya, rakyat juga yang akan rugi," jelasnya.