Muhyiddin menang tanpa bertanding Presiden Bersatu

Bernama
Julai 16, 2020 22:08 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu. - Gambar fail/BERNAMA
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.
Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.
Semakan di laman sesawang rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu itu menyatakan kedua-dua jawatan tertinggi parti itu masing-masing, hanya mempunyai seorang calon.
Bagaimanapun Pengerusi JPP Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.
"Secara rasmi tiada calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kerana pencalonan sudah ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai mesyuarat bahagian," katanya.
Jawatankuasa pemilihan itu hari ini mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti bagi calon-calon yang layak bertanding, di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Armada dan Srikandi.
Senarai nombor calon itu boleh diakses semua calon dan ahli melalui laman sesawang rasmi JPP Bersatu di http://pribumibersatu.org.my/sys/index.php/calon_mpt.
Dalam pada itu, seramai 17 calon disenarai bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Jawatan Ketua Armada pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.
Jawatan Ketua Srikandi menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak, Datin Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.
Bagi MPT, seramai 163 calon bertanding jawatan tersebut.
Persidangan semua bahagian Bersatu akan diadakan serentak pada 22 Ogos yang turut berlangsung pemilihan untuk jawatan tertinggi parti. Persidangan Armada bahagian pula dijadualkan pada 15 Ogos manakala 16 Ogos merupakan persidangan Srikandi bahagian, dengan kedua-dua sayap akan memilih pimpinan tertinggi peringkat pusat sewaktu persidangan bahagian.
Sementara itu semakan di laman sesawang tersebut mendapati tiada calon bagi jawatan Pengerusi Parti itu.
Pada 16 Mac lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad disahkan menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi Bersatu, selepas bekas perdana menteri itu tidak dicabar untuk jawatan berkenaan, setelah proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli MPT ditutup.
Bagaimanapun, keahlian Dr Mahathir dan empat lagi Ahli Parlimen iaitu Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Ahli MPT Dr Maszlee Malik, Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah terhenti serta-merta, selepas mereka bertindak duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen, 18 Mei lalu.
Sewaktu penamaan calon untuk jawatan MPT, Mukhriz juga telah diumumkan akan mencabar Muhyiddin untuk jawatan Presiden parti, manakala bagi jawatan Timbalan Presiden melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Ahmad Faizal, bekas Setiausaha Agung parti Datuk Marzuki Yahya dan Timbalan Ketua Armada Selangor yang juga Ketua Armada Ampang Anas Akashah Nazri.
Sementara itu, Syed Hamid Albar dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum hasrat calon-calon untuk mencetak nama mereka seperti dikenali umum, pada senarai calon rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian.
Katanya ini termasuk gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.
"Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan untuk cetakan rasmi nama calon mereka, bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email jpp.bersatu@gmail.com sebelum 25 Julai 2020," tambahnya.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #calon tunggal #Jawatankuasa Pemilihan Parti #menang tanpa bertanding #Menteri Besar Perak #Muhyiddin Yassin #pemilihan parti #Perdana Menteri #Presiden Bersatu #tidak rasmi
;