Susulan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada UMNO. Ahli Parlimen Pagoh itu kini bukan lagi dianggap Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN), ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata: "Berdasarkan amalan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan ditentukan selepas Ketua Whip Barisan Nasional memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat."

Walau bagaimanapun, tambah Azalina, sebarang perubahan yang akan berlaku pada status Ahli Parlimen Pagoh nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN sebagai parti pemerintah kerana masih memperoleh majoriti di Parlimen.

Pada Jumaat, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua pemimpin UMNO itu telah berada sepentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti.

Sementara itu, Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal pula dikenakan tindakan penggantungan keahlian beliau sehingga laporan diterima daripada Jawatankuasa Disiplin.

BACA: Ismail Mohamed pangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh

BACA: UMNO Johor akur pemecatan Muhyiddin, Mukhriz - Mohamed Khaled

BACA: UMNO Pagoh tolak pemecatan Muhyiddin