Muhyiddin kekal bertanding di Pagoh?
Hakim Rahman
April 13, 2018 16:36 MYT
April 13, 2018 16:36 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada pilihnraya umum ke 14 (PRU14).
Meskipun tidak memberikan pengesahan namun beliau yang merupakan penyandang kerusi parlimen itu menyatakan tinjauan terhadap penduduk Pagoh menunjukkan mereka memberi sokongan terhadap beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Mereka menunggu pengumuman rasmi tetapi saya fikir orang Pagoh ini (mereka) faham, tanpa umum pun mereka dah tahu.
“Bak kata pepatah sekilas ikan di laut sudah tahu jantan betinanya. Jadi tidak ada masalah mungkin mereka sudah tahu siapa yang nak bertanding apa pun ini akan kita umumkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam sidang media di Pejabat PPBM di sini.
Katanya walaupun pada pilihan raya lalu beliau bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) namun angin perubahan dapat dirasakan di Pagoh.
Mengulas lanjut, senarai calon PPBM pada PRU14 akan diumumkan pada 15 April ini.
“Senarai calon sudah 95 peratus disahkan cuma di Selangor sahaja kita belum muktamadkan calon-calon yang akan bertanding,” katanya.
Setakat ini PPBM hanya mengumumkan Syed Saddiq Abdul Rahman sebagai calon bagi kerusi Parlimen Muar.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, PPBM telah memfailkan semakan judisiari kedua terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memerintahkan pembubaran sementara parti itu.
Ujar beliau, tindakan RoS itu dilihat sebagai tidak adil dan berniat tidak baik.
“Atas dasar itu kita minta pertimbangan pihak mahkamah agar kewujudan PPBM ini dapat terus dikekalkan. Bagi kami dalam Bersatu kami telah menyempurnakan segala kehendak, tetapi saya tidak tahu apa sebab (dibubarkan sementara).
Mahkamah TInggi sebelum ini menolak permohonan Bersatu bagi mencabar tindakan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Suriyati Ibrahim membubarkan sementara parti itu.
Hakim Kamaluddin Md Said ketika menolak permohonan semakan itu menjelaskan ia ditolak kerana pihak defendan sepatutnya memohon semakan kehakiman di bawah Seksyen 15 (2) Akta Pertubuhan 1966.
Katanya Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada RoS untuk mengarahkan sesebuah parti politik untuk melampirkan dokumen tetapi pembubaran sementara Bersatu dibuat di bawah Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966.
#Malaysia Memilih
#Muhyiddin Yassin
#Parlimen Pagoh
#pilihan raya umum
#PPBM
#Presiden PPBM
#PRU14
#sokongan