Muhyiddin jumpa Dr Mahathir bincang kerjasama hadapi PRU15

Nur Fazlizai Ali
Mac 31, 2022 18:01 MYT
Pertemuan Muhyiddin dengan Dr Mahathir dikatakan berlangsung kira-kira dua minggu lalu. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam usaha membentuk kerjasama baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mendakwa pertemuan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dengan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang, berlangsung kira-kira dua minggu lalu.
Jelasnya setakat ini Pejuang belum memberikan kata putus berhubung perkara itu.
"Dua minggu lepas PRN Johor dia (Muhyiddin) yang mohon untuk berjumpa dan Tun kata okey untuk berjumpa... (tapi) belum bersetuju dengan apa yang disebutkan itu jadi setakat ini approach tu dah ada tapi setuju tak setuju tu belum.
"Mungkin buat masa ini saya boleh katakan tak atau kurang bersetuju dengan apa yang dicadangkan...," dakwanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis permukiman Pejuang Terengganu pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, antara perkara yang dicadangkan Muhyiddin adalah untuk membentuk gabungan antara Bersatu dan Pejuang.
"Dicadangkan nak bergabung dengan semua walaupun dia (Bersatu) dalam kerajaan sekarang ini... kita semua pun rasa pelik kan kerajaan yang ada sekarang ini adalah dua-dua Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dua-dua pun bertanding di Melaka dan Johor juga di Sarawak.
"Jadi sebenarnya kerajaan yang ada sekarang ni memang dah rapuh... kita tahu tapi di pihak kami tak pernah kami nak cucuk suruh jatuhkan kerajaan ini... yang nak jatuhkan kerajaan ini orang UMNO sendiri, tu yang rasa pelik sangat tu," dakwanya.
#Muhyiddin Yassin #Tun Dr Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #PRU15
;