Muhyiddin isytihar musuh utama PN adalah BN
Irwan Muhammad Zain
September 24, 2022 17:16 MYT
September 24, 2022 17:16 MYT
PUTRAJAYA: Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah Barisan Nasional (BN), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu sekali gus mengingatkan parti komponen PN supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.
Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.
"Apabila tiba masa PRU15 diadakan, maka PN didukung Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), Pas, Gerakan, Star dan SAPP, akan gerakkan semua jentera kita.
"Saya tak nak bincang soal Pakatan Harapan (PH), itu hal dialah. UMNO nak tanding semua kerusi tandinglah.
"Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN," katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di sini, hari ini.
Sebelum ini Pas menjelaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah PH, bukannya UMNO dan BN.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik berkata, atas dasar itu, Pas terus mempelawa supaya kerjasama dengan UMNO diteruskan dalam menghadapi PRU15 bagi memastikan sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk jika mereka berjaya menang pilihan raya.
Ditanya lanjut mengenai pendirian Pas yang agak berbeza dengan kenyataannya, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak berbangkit.
"Itu tak apa. Pas bagi pandangan sebegitu sebab belum ada pilihan raya, tetapi bila nak dekat dan hampir pilihan raya, kita akan ada satu keputusan bersama.
"Sekarang masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang patut.
"Saya pun tak boleh kata jangan itu, jangan ini. Tak apalah, tetapi saya nak tahu apa hasilnya? Adakah UMNO pun setuju akan peluk mereka dan teruskan Muafakat Nasional (MN)? Itu saya kurang pasti," katanya.
Mengenai persiapan gabungan itu terutama berhubung pengagihan kerusi, Muhyiddin berkata, perkara itu masih dalam rundingan.