Muhyiddin hadir sidang DUN Johor

Astro Awani
Disember 6, 2020 11:40 MYT
Muhyiddin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan juga ahli Parlimen Pagoh. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Perdana menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin tiba di Kota Iskandar, di sini bagi menghadiri hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail.
Perdana Menteri yang tiba tepat jam 11.22 pagi turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Muhyiddin adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan juga ahli Parlimen Pagoh.
Hari terakhir sidang DUN Johor hari ini menjadi perhatian susulan perkembangan politik yang berlaku di Perak apabila menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti usul undi percaya dikemukakan, termasuk daripada ADUN UMNO.
Sejauh mana sokongan terhadap Hasni sebagai Menteri Besar akan dapat digambarkan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 yang bakal berlangsung pada sidang DUN hari ini.
DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), Pas (1), Amanah (9) dan PKR (4).
Pecahan 29 kerusi pakatan kerajaan negeri ketika ini ialah 14 dimiliki UMNO, Bersatu (12), MIC (2) dan Pas (1).
Manakala blok Pakatan Harapan (PH) disumbang oleh 14 kerusi menerusi DAP, Amanah (9) dan PKR (4).
#UMNO #PAS #PKR #DAP #MIC #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #ADUN #DUN Johor #politik #politik Johor #Muhyiddin Yassin #Menteri Besar Johor #Hasni Mohammad
;