Muhyiddin gariskan lima cabaran utama buat golongan profesional selesaikan masalah rakyat

Umavathi Ramayah
Julai 15, 2023 12:08 MYT
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptama dan merasmikan Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 di Pusat Konvensyen IDCC, hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan lima cabaran utama yang perlu diberi tumpuan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat.
Ketika berucap pada majlis Konvensyen Profesional Malaysia 2.0 Create Better Malaysia pada Sabtu, beliau berkata, melihat kepada lima cabaran utama yang sedang dihadapi negara maka golongan profesional perlu mengambil peranan proaktif untuk membantu rakyat mendepani situasi yang disebutkan.
Lima cabaran itu adalah seperti berikut:
1. Ketidaktentuan ekonomi
Rakyat kini menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang ketara disebabkan oleh pelbagai faktor. Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan gangguan kepada perniagaan, kehilangan pekerjaan dan mengurangkan pendapatan merentas sektor yang berbeza. Ramai dalam kalangan rakyat termasuk golongan profesional muda masih bergelut untuk mencari pekerjaan yang stabil manakala yang berniaga, menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan mereka. Landskap ekonomi yang tidak menentu jelas menjadi cabaran dalam merancang strategi yang mampan untuk menstabilkan ekonomi dan kewangan negara.
2. Transformasi digital
Transformasi digital merupakan satu lagi cabaran utama yang masih dihadapi oleh rakyat. Sewaktu inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA diperkenalkan), matlamatnya bukan sekadar merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, malahan untuk memperkukuh ekosistem digital dalam negara.
Kerajaan pada ketika itu turut menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) bertujuan mempercepatkan roll out 5G ke seluruh negara, selain menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga berpatutan kepada rakyat termasuk di kawasan luar bandar.
Cabaran kepada para profesional adalah menggesa kerajaan meneruskan inisiatif ini bagi memastikan matlamat lebih ramai rakyat celik digital dapat dicapai.
3. Keseimbangan kerja - kehidupan dan kesihatan mental
Rakyat turut menghadapi tekanan untuk mengimbangi kehidupan dan pekerjaan, pada masa sama memastikan mental mereka kekal sihat. Waktu kerja yang panjang, bebanan kerja dan tuntutan kerja oleh majikan menambah tekanan, keletihan dan mencabar kewarasan.
Rakyat kini sering bergelut untuk mencari masa untuk diri sendiri, bersama keluarga dan mengisi tuntutan kerohanian. Pandemik COVID-19 semakin mengaburkan lagi sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Operasi pengaturan kerja termasuk work from home walaupun memberi kelonggaran bekerja dari rumah, namun menuntut komitmen kerja yang lebih tanpa mengira masa. Ini semua boleh menjejaskan kesihatan mental dan perlu kita jadikan salah satu tumpuan penyelesaian utama.
4. Peluang pekerjaan terhad
Statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran menurun 0.4 peratus pada Mei 2023 kepada 584,600 orang, namun realitinya lebih setengah juta masih menganggur.
Selain itu, ramai turut menghadapi cabaran kadar upah yang rendah. Malahan jurang ketidaksepadanan antara kemahiran graduan dan keperluan pasaran kerja semakin ketara apabila mereka terpaksa bersaing dengan tenaga profesional yang kehilangan pekerjaan sejak pandemik melanda.
Ramai profesional muda juga bergelut untuk mencari jawatan peringkat kemasukan yang sesuai dengan kelayakan dan aspirasi kerjaya mereka.
5. Kos sara hidup
Rakyat menghadapi kekangan dan cabaran kewangan akibat kenaikan kos sara hidup dan kadar upah yang rendah. Kos sara hidup, termasuk perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat, menyukarkan rakyat untuk menjimatkan wang, mahupun melabur dalam kerjaya atau merancang masa depan mereka.
Peningkatan kes rumah dilelong juga menggambarkan ramai peminjam tidak mampu meneruskan ansuran bulanan mereka akibat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Selain itu, hutang pinjaman pendidikan dan keperluan untuk menyara keluarga mereka dari segi kewangan boleh membebankan lagi keadaan kewangan rakyat.
#Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #permasalahan rakyat #Create Better Malaysia #Konvensyen Profesional Malaysia 2 0
;