'Muhyiddin gagal dalam perang psikologi politik' - Pemuda UMNO Kedah
Wan Syamsul Amly
Oktober 8, 2016 15:10 MYT
Oktober 8, 2016 15:10 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal dalam perang psikologi apabila cuba memujuk diri sendiri dengan mendakwa Barisan Nasional (BN) akan tumbang di Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cubaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga sia-sia kerana rakyat Kedah masih menaruh keyakinan terhadap khidmat dan prestasi BN negeri.
"Pemuda UMNO Kedah yakin kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin berkemungkinan sekadar hanya ingin memberi keyakinan terhadap dirinya sendiri untuk terus membina kekuatan PPBM yang dilihat semakin pudar dan hilang arah.
"Kita ingin memaklumkan bahawa 'Pasukan Muafakat' di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mampu membina dan menyakinkan rakyat Kedah untuk terus memilih BN pada PRU akan datang," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Shaiful mengulas kenyataan Muhyiddin di dalam sebuah akhbar yang mendakwa BN akan tumbang di Kedah pada pilihan raya akan datang.
Muhyiddin berkata, ini bersangkutan dengan sentimen rakyat di negeri jelapang padi itu selepas bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan daripada jawatannya.
Mukhriz dipecat daripada UMNO pada Jun lalu dan disingkirkan daripada jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah sebelum diganti dengan Ahmad Bashah.
Tegas Shaiful, cubaan ingin menakutkan rakyat dan perang psikologi Muhyiddin tidak akan berjaya kerana UMNO Kedah pada ketika ini mempunyai tahap persefahaman yang terbaik.
"Kita akan teruskan tugas dan tanggungjawab tanpa mengambil kira atau sama sekali ambil kisah dengan kenyataan yang bersifat 'cuba-cuba'.
"Kita juga ingin tampil dan memberi nasihat kepada Muhyiddin untuk tidak sekali-kali membuat kenyataan tanpa usul periksa.
"Hakikatnya, semua pihak sedar bahawa PPBM sendiri sedang mengalami krisis kepimpinan dan pada masa sama sedang 'membeli' jiwa parti-parti pembangkang yang lain untuk bertanding di kerusi tertentu," jelasnya.
Shaiful turut mencadangkan Muhyiddin untuk mula membina dan mengukuhkan kedudukan sendiri di Johor sebelum memberi gambaran kepada pihak lain.
"Kita optimis PPBM akan gagal menempatkan diri mereka sebagai parti yang dihormati di kalangan parti-parti pembangkang lain.
"Percubaan pimpinan PPBM yang dilihat cuba menjadi 'orang tengah' sama sekali tidak akan memberi kesan kerana masalah prinsip asas parti-parti pembangkang lain.
"PPBM sendiri tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan sekadar perjuangan berasaskan dendam dan kekecewaan," ujarnya.