Muhyiddin akui bukan Melayu masih ragu-ragu sokong Bersatu
Bernama
November 30, 2024 15:00 MYT
November 30, 2024 15:00 MYT
SHAH ALAM: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui masyarakat bukan Melayu masih ragu-ragu untuk menyokong parti itu.
Beliau berkata dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, sebahagian besar kemenangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) disumbangkan sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera.
"Ada sokongan bukan Melayu, tetapi masih perlu ditingkatkan lagi.
"Maka, sebagai sebuah parti yang mendokong semangat nasionalisme baharu untuk Malaysia, Bersatu tidak hanya boleh bergantung kepada sokongan orang Melayu dan Bumiputera untuk membentuk kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketujuh di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, tiga Naib Presiden Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menafikan wujudnya kumpulan atau kem pemimpin tertentu dalam Bersatu.
"Jangan ada yang kerjanya cucuk sana cucuk sini. Kononnya ada kem itu dan kem ini. Ada kumpulan itu dan kumpulan ini yang akan melemah dan memecahkan kita. Ini semua karut. Saya tidak akan membenarkan perkara karut berlaku dalam parti kita ini," katanya.
-- BERNAMA