Muhammad Aiman calon PH PRK Semenyih
Wan Syamsul Amly
Februari 14, 2019 18:40 MYT
Februari 14, 2019 18:40 MYT
Muhammad Aiman Zainali, 30 tahun diumum calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 3 Mac depan.
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, pemilihan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat itu kerana melepasi saringan parti selain mendapat restu Presiden PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.
"Saya telah umumkan calon wakili PH dari Bersatu, iaitu Aiman. Keputusan itu diluluskan Tun Dr Mahathir, dia calon muda dan saya sudah periksa, dia sah lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Aiman anak tempatan, harap pengundi terima dia dalam menjalankan amanah, sokongan seluruh parti dalam PH menjadi petanda baik," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PH untuk PRK Semenyih di sini, pada Khamis.
Aiman merupakan anak jati Semenyih dan mempunyai kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik , Kelas pertama dari UiTM.
Beliau kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di UiTM, Shah Alam.
Dalam pada itu Aiman memberitahu, akan menyelesaikan isu semasa penduduk Semenyih terutama kesesakan jalan raya.
#Calon Pakatan Harapan
#DUN Semenyih
#Muhammad Aiman Zainali
#Muhyiddin Yassin
#Pakatan Harapan
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#pilihan raya kecil
#PRK
#Semenyih