Mufti Perlis sokong Muhyiddin sebagai PM kerana sah dari segi Perlembagaan
Astro Awani
April 5, 2020 14:29 MYT
April 5, 2020 14:29 MYT
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyanggah dakwaan yang mengatakan sesiapa yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional adalah pengkhianat.
Mohd Asri berkata, siapa sahaja yang menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak terikat terikat dengan perjanjian seperti mana yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pihak lain.
Beliau mendakwa, pada 8 Oktober 2019, ketika masih menjawat jawatan Perdana Menteri, Dr Mahathir ada menulis sepucuk surat peribadi kepadanya.
Menerusi surat itu, Mohd Asri mendakwa, Dr Mahathir menjelaskan bahawa orang lain tidak terikat dengan janji yang dibuatnya dan boleh memilih orang lain untuk menjadi Perdana Menteri.
"Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja.
"Sudah pasti DYMM YDPA (Yang di-Pertuan Agong) tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu.
"Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada," tulis Mohd Asri di Facebooknya.
Mohd Asri menjawab soalah yang dikemukakan oleh seorang anak muda yang menyokong Parti Amanah Negara (Amanah), namun tidak mendedahkan nama anak muda tersebut.
Mengulas isu lompat parti, Mohd Asri berkata, Amanah juga merupakan sebuah parti yang ditubuhkan hasil daripada amalan lompat parti.
"Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka. Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompat. Pun begitu mereka telah melompat," katanya.
Mohd Asri juga mendakwa, beliau mengiktiraf Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan yang ada kerana ia sah di sisi Perlembagaan.
Beliau menegaskan, pengiktirafan yang diberikan terhadap kerajaan Perikatan Nasional kerana tidak terikat dengan mana-mana perjanjian bersama orang politik.
#Anwar Ibrahim
#Dr Maza
#Dr Mohd Asri Zainul Abidin
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#mufti
#Muhyiddin Yassin
#mungkir
#pengkhianat
#Perikatan Nasional
#perjanjian
#Perlis