Mufti, Ketua Pegawai Eksekutif antara individu dilantik senator

Bernama
Mac 9, 2020 20:14 MYT
Pelantikan itu melibatkan dua individu bukan ahli politik yang menyaksikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto BERNAMA
Enam individu bakal dilantik sebagai Senator bagi membolehkan mereka mengisi barisan Kabinet gabungan baharu yang diterajui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pelantikan itu melibatkan dua individu bukan ahli politik yang menyaksikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Selain Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut tersenarai memegang jawatan Menteri Kewangan.
Empat lagi individu yang tersenarai bagi menjawat jawatan timbalan menteri adalah Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I); Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kabinetnya merangkumi 31 menteri, dan buat pertama kali dalam sejarah tidak menamakan timbalan perdana menteri.
Perdana Menteri sebaliknya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama #Menteri Kewangan #Mufti Wilayah Persekutuan #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #senator
;