MUDA umum calon di Larkin, bertembung dengan PKR
Ridauddin Daud
Februari 24, 2022 15:50 MYT
Februari 24, 2022 15:50 MYT
JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Khamis mengumumkan Rasid Abu Bakar akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pencalonan Ketua Penerangan MUDA Johor itu menyaksikan bakal berlakunya pertindihan kerusi melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang turut meletakkan calon di DUN tersebut.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bendahari Cabang Keadilan Pasir Gudang, Dr Zamil Najwah Arbain sebagai calon parti itu di DUN Larkin.
Mengulas pertindihan kerusi tersebut, Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman mengulangi pendiriannya, menegaskan biar rakyat Johor sendiri menentukan pilihan mereka.
“Rundingan demi rundingan diadakan, Kita hormati prinsip diambil Keadilan (PKR) untuk umumkan 20 calon dan niat bertanding kerusi pada minggu lepas.
“Sebab MUDA tidak umumkan kerusi-kerusi lebih awal adalah kerana kita menghormati proses rundingan tersebut dan pada masa sama kita cuba guna saluran lain untuk cari titik tengah.
“Ia adalah untuk pastikan tiada pertindihan dan kalau ada pun, kita dapat kurangkan semaksimum mungkin. Sebab itu dalam bab ini kita biarkan rakyat negeri Johor buat pilihan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Calon MUDA di Johor Bahru pada Khamis.
Ketika ditanya, adakah Syed Saddiq juga akan bertanding dalam PRN Johor, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan buat masa ini, MUDA hanya fokus kepada tujuh calon yang dipertaruhkan parti itu.
“MUDA adalah parti yang berbilang bangsa dan agama dan mengangkat politik nilai, politik khidmat dan politik dasar.
“Kami tidak kira jika seorang itu bangsa Melayu, Cina atau India, selagi niatnya adalah untuk berkhidmat, kita yakin peluang wajib diberikan kepadanya,” ujarnya lagi.
Sebelum ini media melaporkan MUDA telah diberi enam kerusi oleh DAP dan Amanah, iaitu Tenang, Puteri Wangsa, Bukit Kepong, Machap, Parit Raja, dan Tenang.
PKR pula dilaporkan bersedia menawarkan tiga kerusi kepada MUDA iaitu Sri Medan, Tanjung Surat, dan Semarang, namun ditolak MUDA kerana ia bukan kerusi yang mudah untuk ditawan.