MUBARAK perlu lebih lantang
Bernama
Oktober 16, 2016 08:44 MYT
Oktober 16, 2016 08:44 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) lebih lantang bersuara dalam menepis politik kebencian yang dilihat berlaku sekarang.
Beliau berkata berbekalkan pengalaman yang ada, anggota MUBARAK perlu bertindak sebagai suara penengah untuk membentuk persepsi positif seperti yang dilakukan mereka sebelum ini.
"Saya percaya anggota MUBARAK boleh memainkan peranan untuk menginsaf dan menyedarkan mereka yang terikut-ikut dengan kaedah baharu sekarang ini yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan suasana politik kebencian dan perpecahan.
"Ini juga bukan perkara baharu kepada MUBARAK," kata Hishammuddin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-13 MUBARAK di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.
Turut hadir Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
Tegas Hishammuddin, usaha mengetepikan politik kebencian itu juga penting memandangkan Pilihanraya Umum ke-14 akan datang dianggap paling sukar dan mencabar buat UMNO.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata kerajaan menerusi kementerian yang diterajuinya akan memberi keutamaan kepada kebajikan veteran pasukan keselamatan dalam Bajet 2017.
"Agenda kebajikan veteran merupakan antara keutamaan yang akan diberi perhatian dalam bajet di bawah kementerian saya," katanya. - BERNAMA