Muafakat Nasional: UMNO jangan hantar signal keliru kepada Pas - Tengku Putra

Astro Awani
Julai 5, 2020 09:23 MYT
Menurut Tengku Putra, kebangkitan Melayu sebenarnya sudah bermula semasa perhimpunan membantah ratifikasi ICERD pada Disember 2018. - Gambar hiasan
Kepimpinan UMNO diminta tidak menghantar signal mengelirukan kepada Pas yang telah membuktikan kesetiaan mereka kepada perjuangan Muafakat Nasional (MN) selama ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata, UMNO juga perlu mengisytihar dan mengesahkan semula tujuan dan hasrat asal MN akan tetap diangkat dan diperjuangkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Biarlah isu siapa perdana menteri dan persoalan parti dengan paling sedikit kerusi menerajui kerajaan ini menjadi topik Pakatan Harapan (PH) dan bukan MN," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pemimpin parti itu percaya mereka itu akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15 bagi membolehkan parti mereka menang dalam kedudukan yang dominan.
BACA: PRK Chini: Kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional hasilkan kejayaan luar biasa - Najib
BACA: PRU15: Kepercayaan rakyat teras Muafakat Nasional sokong Muhyiddin jadi calon PM
Jelas Tengku Razaleigh, sekiranya UMNO tidak menang dalam kedudukan dominan dalam PRU akan datang, akan berlaku satu lagi siri ketidakstabilan politik.
Dalam pada itu kata Tengku Putra, kebangkitan Melayu sebenarnya sudah bermula semasa perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pada Disember 2018.
"Pada masa itu, ratusan ribu orang Melayu turun ke bandar untuk bersatu menentang polisi PH yang meminggirkan isu kepentingan Islam termasuk ICERD.
"Rentetan itu, pada 14 September 2019, satu peristiwa bersejarah melihatkan UMNO dan Pas apabila mereka memeterai sebuah piagam menandakan kerjasama membawa penyatuan ummah.
"Ketaatsetiaan di antara UMNO dan Pas bersama dengan komponen BN telah membawa kita ke kemenangan keenam di Chini buat BN daripada 11 Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018," ujarnya.
Katanya lagi, perkembangan politik negara akhir-akhir ini menyaksikan penggabungan MN dengan serpihan PPBM dan PKR adalah dengan matlamat sementara untuk menyelamatkan negara dan menyingkirkan DAP.
"Persetujuan asal adalah untuk bersama di dalam Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga pembubaran Parlimen sebelum PRU15 sahaja dan bukan seterusnya. Ini telah dilafazkan oleh kepimpinan tertinggi di dalam MN.
"Dalam satu majlis di Chini juga sudah diingatkan bahawa UMNO dan Pas sudah sedia melupakan sengketa lama dengan kerjasama erat ketika menentang pemerintahan PH selama 22 bulan.
"UMNO dan Pas kini wajar untuk mengingati setiap perkara yang berlaku. Kukuhkan MN dan bincanglah dengan parti-parti lain termasuk dari Sabah dan Sarawak untuk bersama," ujarnya.
Katanya, jangan pula perjuangan asal MN dengan tujuan bersepadu menguasai kerajaan selepas PRU15 diganggu gugat oleh ahli-ahli MN sendiri yang kini selesa dengan kedudukan mereka dalam kerajaan.
Pada Sabtu, BN berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini apabila calonnya, Mohd Sharim Md Zain memperoleh kemenangan dengan majoriti 12,650 undi.
Beliau menewaskan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli dalam pertandingan tiga penjuru PRK kali ini.
#ADUN #Barisan Nasional #ICERD #Islam #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PAS #Penyatuan Ummah #piagam #PKR #PPBM #PRU #Tengku Razaleigh Hamzah #UMNO
;