Muafakat Nasional mungkin berkubur selepas PRN Melaka - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
November 7, 2021 14:01 MYT
Jelas Mujibu, ketika ini, Pas dilihat lebih berada pada posisi tertekan apabila UMNO kini kelihatan lebih membina kekuatan dan momentum mereka yang tersendiri berbanding Pas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Status kerjasama UMNO-Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tentunya terus menjadi tanda tanya sekalipun kedua-dua pihak saling mempertahankan kenyataan bahawa kerjasama tetap akan terjalin sekalipun berbeza pilihan dalam pertempuran politik pada Pilihan Raya Negeri Melaka.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis ketika mengulas dinamika politik kedua-dua parti itu, melihat bahawa, kerjasama politik yang terjalin antara Pas-UMNO dalam MN satu ketika dahulu tidak bertahan untuk jangka masa panjang.
"Muafakat Nasional dilihat satu kerjasama politik yang bukanlah benar-benar berlaku untuk jangka masa panjang. Jika dilihat, Pas ibarat main dua kolam, (misalnya) ketika UMNO tawar Pas pada PRN Melaka dengan mensyaratkan Pas untuk bertanding di kerusi tertentu dengan menggunakan lambang sendiri yang tidak disahut oleh Pas.
"Kita juga kini menyaksikan buat pertama kali parti-parti kerajaan bertanding sesama sendiri di PRN Melaka dan ia tentunya sesuatu yang menarik,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Jelas Mujibu, ketika ini, Pas dilihat lebih berada pada posisi tertekan apabila UMNO kini kelihatan lebih membina kekuatan dan momentum mereka yang tersendiri berbanding Pas.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti mereka akan bertempur sesama sendiri di negeri-negeri yang majoritinya orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Justeru katanya, pautan ikatan yang dimiliki dalam Muafakat Nasional ketika ini adalah terlalu rapuh dan sedang meniti kepada detik yang membimbangkan.
“Sama ada kita akan menyaksikan muafakat ini akan berpecah atau bercerai, mungkin kita boleh lihat bagaimana naratif itu akan dicernakan selepas PRN Melaka ini kelak," jelasnya.
BACA: PRN Melaka: 'Kerjasama Pas-UMNO, tunggu keputusan Ahad ini' - Kamarudin
VIDEO: Politik UMNO-Pas | Pas ulang pendirian, sokong PN
Beliau juga melihat bahawa kenyataan Pemuda Pas berkenaan mereka tetap bersabar dengan kerenah UMNO juga adalah tidak benar, kerana UMNO dilihat terlebih dahulu bertahan dengan sikap Pas itu sendiri.
“Kita menyaksikan selepas kerjasama yang berhasil dalam siri pilihan raya kecil di bawah Muafakat Nasional... namun selepas langkah Sheraton itu, Pas seolah sentiasa menekan UMNO untuk terus bersama Perikatan Nasional. Itu juga boleh disaksikan sebagai bagaimana UMNO sebenarnya bersabar dengan kerenah Pas," jelasnya lagi
#PAS #UMNO #PRN Melaka #Muafakat Nasional
;