Muafakat Nasional bukan ditubuh dengan matlamat disertai Bersatu - Tok Mat

Azyyati Ahmad
Disember 5, 2021 10:23 MYT
Kata Mohamad Hasan (kanan), untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggah dengan semangat sebenar MN diasaskan. -Foto fail
KUALA LUMPUR: “UMNO tidak pernah mungkir pada piagam Muafakat Nasional (MN) dan ia tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjadi sebahagian daripadanya.”
Itu reaksi balas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan susulan kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa PAS menolak gagasan MN disebabkan UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Tegas Mohamad Hasan, MN ditubuhkan adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) ketika itu dan Bersatu merupakan parti komponen PH.
Maka, katanya, untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggah dengan semangat sebenar MN diasaskan, ditambah sejarah bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan Kerajaan pimpinan UMNO.
“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan Bersatu dan UMNO terikat dengan pendirian ini.
“Jadi, amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” kata Mohamad dalam entri terbaharu di Facebook.
Sumber Facebook TokMatHasanN9
Tambahnya lagi, MN juga tidak didaftarkan disebabkan ia dilihat sebagai wadah untuk orang Melayu dan bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata.
“Jadi, janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu, MN itu PAS tinggalkan.
"Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan Bersatu menyertai MN.
“Janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN,” katanya lagi.
Justeru, Mohamad Hasan berharap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu.
Pada Sabtu, Abdul Hadi mendakwa tindakan UMNO melanggar Piagam MN menjadi punca PAS menolak untuk bersama gabungan itu.
Jelas Abdul Hadi, Ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
#Abdul Hadi Awang #Mohamad Hasan #PAS #Muafakat Nasional
;