Muafakat formula calon BN Parit

Abd Razak Mohd Ali
Mei 8, 2018 17:20 MYT
Dari kanan, zaim, khairudin, nizar, shahril dan nasarudin. Astro AWANI / ABD RAZAK MOHD ALI
Walaupun di peringkat awal, berlaku sedikit pergolakan mengenai calon-calon Barisan Nasional (BN) di Parit, namun ia dapat diselesaikan dengan semangat muafakat semua pihak.
Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak, itulah formula yang akhirnya mencetuskan gerak kerja kempen yang cukup kemas dan tersusun.
Kombinasi calon yang berumur di bawah 50 tahun, calon Parlimen, Datuk Mohd Nizar Zakaria, 49, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed, 45 dan calon DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah, 46, memang menjadi harapan penduduk Parit.
Mereka juga bukanlah orang baru di kawasan tersebut, Mohd Nizar adalah bekas Ahli Parlimen Parit (2008 – 2013), ADUN Belanja dan Exco kerajaan negeri Perak (2013 – 2018).
Shahril pula adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian sejak 10 tahun lalu dan juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak manakala Khairudin telah mengabdikan diri mengajar di Parit sejak 24 tahun lalu.
Berdasarkan latar belakang itu, mereka dikatakan cukup popular dalam kalangan penduduk setempat.
Parit tidak perlu manifesto khas seperti yang dilakukan di beberapa tempat kerana Manifesto BN yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengandungi cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baharu di Seri Iskandar, yang terletak di DUN Bota dan Parlimen Parit.
Paling menarik di Parit ialah kehadiran bekas Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang turut sama membantu calon-calon berkempen, tanpa mengira siang mahupun malam.
Malah, kadang-kadang mereka berkongsi pentas untuk sama-sama meyakinkan pengundi bahawa mereka perlu memilih calon BN jika mahu melihat Parit terus membangun.
Mohd Zaim ketika ditemui berkata, beliau tampil membantu kerana calon-calon itu adalah antara keluarga besar UMNO Parit yang telah sama-sama membantu beliau pada beberapa pilihan raya umum lalu.
“Kalau dahulu mereka membantu kami, sekarang ini apalah salahnya kami pula bekerja kuat untuk membantu memenangkan mereka,” ujarnya.
Nasarudin pula berkata, inilah masanya untuk semua pihak di dalam keluarga besar UMNO dan BN untuk sama-sama membantu tiga orang ahli keluarga yang bertanding pada PRU-14 ini.
Berdasarkan tinjauan di sekitar Parlimen Parit, bendera BN boleh dikatakan menawan hampir keseluruhan kampung di kawasan berkenaan. Bendera pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas hanya terdapat di beberapa lokasi, khususnya di pekan-pekan kecil.
Rata-rata penduduk tempatan yang ditemui menyatakan bahawa kempen-kempen PKR dan Pas kali ini jauh lebih kurang berbanding ketika PRU12 dan PRU13 yang lalu.
Pada PRU13, BN menang di Parlimen Parit dengan majoriti 4,497, menang di DUN Bota dengan majoriti 3,448 undi dan juga menang di DUN Belanja dengan majoriti 2,963.
#Barisan Nasional #BN #MalaysiaMemilih #parit #Perak #pilihan raya umum #PRU14
;