MT UMNO perlu melihat kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti - Penganalisis
Irwan Muhammad Zain
Julai 7, 2021 14:37 MYT
Julai 7, 2021 14:37 MYT
KUALA LUMPUR: Malam ini, Majlis Tertinggi (MT) UMNO dijangka akan mengadakan mesyuarat secara maya dan membincangkan tentang kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Namun, diharapkan dalam keadaan negara sedang berdepan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang kurang stabil, anggota MT parti itu harus melihat melebihi kepentingan mereka sendiri sebaliknya menilai adakah keputusan yang akan dibuat nanti mampu menjadikan keadaan negara dan rakyat lebih baik.
Bagi Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid, sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat terutama orang Melayu, UMNO perlu memikirkan persoalan kepentingan rakyat dan negara dalam membuat keputusan.
Hamidin berpendapat UMNO tidak harus lari dari memikul tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat yang ketika ini memerlukan hala tuju yang jelas dari setiap parti.
"UMNO tidak harus lari dari memikul tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat kerana rakyat ketika ini memerlukan penjagaan dan hala tuju yang jelas oleh setiap parti.
"Oleh itu saya harap MT UMNO memikirkan persoalan itu, ini bukan persoalan tentang kelangsungan parti, ini bukan persoalan parti nak mendapatkan kuasa tetapi kita bercakap tentang bagaimana kita nak membawa keluar negara ini dari masalah yang kita hadapi sekarang.
"Kita nak membawa keluar rakyat yang mana ahli UMNO juga merupakan rakyat negara ini untuk keluar dari pandemik COVID-19 dan berada di landasan tepat dari segi ekonomi," katanya kepada Astro AWANI.
Dalam keadaan yang serba payah ini, Hamidin berharap UMNO terus kekal dalam kerajaan dan menyumbang kepada negara dengan cara memberi kritikan membina dari dalam kerajaan.
"Saya melihat dalam keadaan ketika ini cara terbaik ialah UMNO kekal dalam kerajaan dan memberikan kritikan yang membina dari dalam kerajaan.
"UMNO boleh menyumbang dengan lebih jelas dan berkesan sekiranya mereka mengambil bahagian dengan lebih positif tentang segala dasar-dasar kerajaan," katanya lagi.
Beliau menjelaskan, beberapa kementerian yang mengendalikan hal berkaitan COVID-19 diterajui Ahli Parlimen UMNO membuktikan parti itu memainkan peranan penting dalam kerajaan.
Justeru beliau berharap anggota MT UMNO melihat bagaimana parti itu boleh memberi lebih banyak sumbangan menerusi kerajaan sedia ada yang dihargai rakyat.
Mesyuarat MT UMNO malam ini menjadi tumpuan banyak pihak kerana timbul cakap-cakap mengatakan parti itu akan membuat keputusan meninggalkan kerajaan dalam masa terdekat.
#UMNO
#Perikatan Nasional
#MT UMNO
#kerajaan
#keluar
#kekal
#ILHAM Centre
#Dr Hamidin Abd Hamid
#PolitikMalaysia
#Politik Malaysia
#majlis tertinggi
#COVID-19
#pandemik
#Malaysia
#Parlimen
#ekonomi
#Melayu