MT UMNO bermesyuarat lagi, Ismail Sabri disebut-sebut sebagai TPM

Firdaus Azil
Oktober 29, 2020 20:39 MYT
Mesyuarat khas MT UMNO malam ini bincangkan mengenai calon yang paling sesuai untuk dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri.
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sekali lagi berkumpul di Menara Dato Onn malam ini, bagi menghadiri Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Astro AWANI difahamkan bahawa mesyuarat khas ini akan membincangkan secara terperinci mengenai calon yang paling sesuai untuk dicadangkan menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Sumber memaklumkan bahawa antara tiga nama yang dicadangkan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Pertahanan, dilihat memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua dalam Kabinet itu.
Nama lain yang disebut-sebut ialah Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan nama yang terbaharu ialah Ahmad Zahid sendiri.
Sebelum ini media melaporkan, Muhyiddin sedang mempertimbangkan secara serius untuk melantik TPM daripada parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, sebagai timbal balas terhadap sokongan mereka untuk Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, dan kestabilan politik negara.
“Memang ketiga-tiga nama tokoh ini naik. Tetapi Datuk Seri Ismail Sabri yang paling memahami sentimen antara dua pihak, iaitu Perikatan Nasional dan UMNO dan Tan Sri nampak lebih selesa dengan beliau (Ismail Sabri).
“Beliau yang sering menjadi pengantara antara Perdana Menteri dan UMNO, dan sedikit sebanyak kurangkan pertelagahan antara dua kumpulan ini, berbanding Tok Mat (Mohamad) dan Datuk Hisham (Hishammuddin),” kata sumber yang rapat dengan kepimpinan UMNO kepada Astro AWANI baru-baru ini.
BACA: Jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk UMNO?
Dalam pada itu, pemerhatian Astro AWANI mendapati perbualan di kalangan media sosial, terutamanya akar umbi UMNO dan pemerhati politik, sudah mula tertumpu ke arah siapa calon TPM yang sesuai.
Sebagai rekod, Ismail Sabri merupakan Ahli Parlimen Bera, Hishammuddin adalah Ahli Parlimen Sembrong, manakala Ahmad Zahid adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Mohamad, yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau. Untuk memegang jawatan dalam Kabinet, seseorang individu itu perlu menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara (Senator).
Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat, Hishammuddin tidak mempunyai sokongan yang begitu kukuh dari kalangan akar umbi parti, manakala Ahmad Zahid masih menghadapi beberapa kes di mahkamah.
Walaupun Mohamad dilihat memenuhi kriteria yang diperlukan, namun mereka berpendapat seseorang TPM itu lebih sesuai dipilih dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.
#ismail sabri yaakob #Hishammuddin Hussein #Mohamad Hasan #Zahid Hamidi #Timbalan Perdana Menteri #UMNO #Dewan Rakyat #TPM #Dewan Negara #Astro Awani #Parlimen #majlis tertinggi #mahkamah #media sosial
;