MPT Bersatu setuju keluar PH 23 Februari lalu, bentuk gabungan baharu
Umavathi Ramayah
Mei 19, 2020 16:43 MYT
Mei 19, 2020 16:43 MYT
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah membuat keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan membentuk sebuah gabungan politik baharu dengan parti-parti lain di luar gabungan itu pada satu mesyuarat 23 Februari lalu.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh MPT dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu hari ini berkata, justeru keputusan mesyuarat itu adalah jelas dan tidak perlu dipertikaikan.
"Pada masa yang sama, kami juga menyokong sepenuhnya penubuhan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan parti-parti politik dengan matlamat dan tujuan yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional.
"Demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara, kami bersetuju Bersatu menyertai Perikatan Nasional," kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, MPT dan BPN itu turut menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh dua Naib Presiden Bersatu,Tan Sri Panglima Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Rashid Bin Asari; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin; Bendahari Agung Datuk Mohamed Salleh Bajuri; Ketua Penerangan, Dr Radzi Jidin, ahli-ahli MPT dan Ketua BPN.
#Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi MPT
#Bersatu
#Datuk Seri Hamzah Zainudin
#Ketua Badan Pimpinan Negeri BPN
#Perikatan Nasional
#Tan Sri Muhyiddin Yassin