MP Bersatu sokong PM: 'Tak perlu PRK, buang masa, membazir' - Syed Abu Hussin
Abd Razak Mohd Ali
Jun 30, 2024 15:21 MYT
Jun 30, 2024 15:21 MYT
BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berpendapat, Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak perlu diadakan di enam kawasan Ahli Parlimen Bersatu, yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PRK hanya akan membuang masa kerana ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan yang ada ketika ini.
Di samping itu, katanya, PRK sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan rakyat juga telah lama muak dengan politiking.
"Jadi akan memuakkan rakyat dan ekonomi tidak dapat dikawal dengan baik. Sekarang adalah penumpuan kepada mensejahterakan rakyat, mengurangkan kos sara hidup dan memberi bantuan yang lebih banyak kepada rakyat.
"Bukan masa untuk main politik lagi. Jadi apa pun setakat ini... (usaha) yang dibuat oleh pembangkang (tetap) mereka tak cukup kerusi. So why you should do that and wasting money and wasting time (Jadi kenapa perlu buat seperti itu dan membazir masa dan wang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak pada Ahad.
Syed Abu Hussin yakin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan membuat keputusan yang sewajarnya terhadap isu tersebut.
Sebelum ini, Bersatu menggesa Johari tidak berdolak dalih untuk segera mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen.
Bersatu diwakili Naib Presidennya yang juga Ketua Whip di Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee, pada 20 Jun lalu mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.
Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen ialah Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).