MP Bagan Serai umum keluar UMNO, BN

Sinar Harian
Jun 24, 2018 12:58 MYT
Noor Azmi bercakap pada sidang media tergempar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai hari ini. Foto Sinar Harian
Kecewa dengan penolakan UMNO Bahagian Bagan Serai menjadi antara faktor Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar UMNO dan menjadi wakil rakyat Bebas menyokong kerajaan Pakatan Harapan, hari ini.
Keputusan mengejut itu dibuat Noor Azmi menerusi satu sidang media khas di pejabat Pusat Khidmatnya di sini pada jam 10 pagi tadi dan turut dihadiri puluhan penyokong serta pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Bagan Serai.
Noor Azmi berkata, selain faktor penolakan parti sendiri terhadap dirinya, keputusan keluar UMNO turut dibuat mengambil kira mendahului kepentingan rakyat, terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan penduduk Parlimen Bagan Serai.
Menurutnya, buat masa kini, pihaknya akan kekal sebagai wakil rakyat bebas, namun tidak menolak kemungkinan akan menyertai Bersatu setelah mendapat restu pucuk kepimpinan parti.
"Sejak menjadi Ahli Parlimen Bagan Serai mewakili UMNO dan BN, pelbagai usaha dilakukan UMNO bahagian termasuk cubaan mensabotaj keputusan saya bertanding pemilihan parti pada tahun 2013 dan terbaharu, menolak pemilihan semula saya sebagai calon PRU14.
"Meskipun saya sering dihina, dicerca dan disabotaj UMNO bahagian, saya masih mampu mengekalkan kemenangan UMNO dan BN di kerusi Parlimen Bagan Serai bagi penggal kedua berturut-turut.
"Saya yakin faktor personaliti saya disenangi rakyat serta kesungguhan memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka membolehkan saya terus menang kerusi Parlimen meskipun menerima penolakan hebat di peringkat dalaman parti," katanya dalam sidang media tergempar diadakan di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.
Noor Azmi berkata, keputusannya memilih platform menjadi wakil rakyat bebas menyokong kerajaan Harapan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu tidak sesekali dibuat atas kepentingan peribadi dan ghanimah.
Menurutnya, sewaktu pertama kali dipilih calon BN pada PRU13, dia sanggup mengorbankan kepentingan perniagaan dan karier sebagai doktor demi memberi sumbangan bermakna kepada parti.
"Sekiranya ada dakwaan keputusan dibuat sebab saya kejar kepentingan harta benda dan jawatan, perkara itu tidak benar kerana peringkat awal penglibatan saya dalam politik adalah semata-mata berkhidmat kepada rakyat.
"Saya yakin keputusan saya akan diterima dan difahami rakyat Bagan Serai yang rata-ratanya mengetahui saya disering diboikot dan dipinggirkan UMNO bahagian sejak penggal pertama wakil rakyat lagi," katanya.
Noor Azmi turut berharap keputusan dibuat akan memberikan suntikan moral tambahan kepadanya untuk lebih vokal membawa suara permasalahan serta cadangan pembangunan Parlimen Bagan Serai ke pengetahuan kerajaan Harapan dan persidangan Parlimen kelak.
Paling penting, beliau menegaskan keputusan besar itu akan memastikan aspek kebajikan dan pembangunan rakyat Parlimen Bagan Serai terus terbela dengan sokongan kerajaan Harapan.
"Terdapat pelbagai isu pembangunan dan kebajikan rakyat Parlimen ini yang perlu dititikberatkan dan saya berjanji kepada semua rakyat di sini akan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada mereka pada masa hadapan," katanya.
Pada PRU14, Noor Azmi memenangi pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Pas, Rohaya Bakar dan calon PKR-Bersatu, Adam Asmuni dengan majoriti 172 undi.
#Bagan Serai #Barisan Nasional #Bebas #Bersatu #keluar parti #Noor Azmi Ghazali #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #politik #PPBM #rakyat #UMNO #wakil rakyat
;