MoU peruntukan pembangkang: Hanya Muar beri jawapan, maklum balas - Fadillah
Ridauddin Daud
November 6, 2024 19:38 MYT
November 6, 2024 19:38 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan beliau masih lagi membuka ruang untuk perbincangan berhubung peruntukan memorandum persefahaman (MoU) buat Ahli Parlimen pembangkang.
Ringkasan AI
- Ruang Rundingan Terbuka: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, masih membuka ruang untuk perbincangan mengenai peruntukan memorandum persefahaman (MoU) untuk Ahli Parlimen pembangkang secara individu, walaupun rundingan secara kumpulan besar dengan Perikatan Nasional (PN) telah ditutup.
- Maklum Balas Syed Saddiq: Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang memberi maklum balas terhadap surat dan e-mel berkaitan MoU tersebut, dan cadangan balas beliau akan dibincangkan di bawah whip kerajaan.
- Penolakan PN: PN menolak MoU tersebut atas beberapa sebab utama, termasuk kebimbangan bahawa syarat-syarat dalam dokumen itu boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta bertentangan dengan nilai budaya, moral, dan agama.
Begitupun, katanya, rundingan secara kumpulan besar iaitu Perikatan Nasional (PN) sudah tertutup namun beliau terbuka sekiranya ada individu dari blok itu yang mahu berunding.
Menurutnya, setakat ini, hanya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi maklum balas terhadap surat dan e-mel berkaitan perkara tersebut.
Tambah beliau, cadangan balas daripada Syed Saddiq akan dibawa dan dibincangkan di bawah whip kerajaan.
“Manakala, kalau ada di kalangan individu Ahli Parlimen di sebelah sana (pihak pembangkang) untuk berbincang dengan saya, saya terbuka.
“Tapi secara kelompok saya dikatakan sudah pun menolak daripada keputusan pihak parti itu sendiri.
“Jadi saya tak boleh buat apa-apalah sebab tugas saya adalah untuk berunding, kalau tak nak berunding saya tak boleh buat apa-apa.
“Saya hanya berunding dengan mereka yang nak berunding,” katanya.
Katanya lagi, beliau juga akan memanggil Syed Saddiq selepas ini, bagi menyampaikan respons terhadap segala cadangan beliau.
“Terima kasih Yang Berhormat,” balas Syed Saddiq usai Fadillah berkata demikian di Dewan Rakyat pada Rabu.
Astro AWANI pada Selasa melaporkan Fadillah berkata pintu rundingan berhubung MoU bagi peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sudah ditutup.
Tegasnya, sekiranya orang sudah ‘menolak pinangan’, malulah kalau mahu dirujuk semula kepada orang itu.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan PN sebulat suara menolak MoU atas beberapa sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, yang mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.
Malah pembangkang menyifatkan MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.
#Timbalan Perdana Menteri
#Fadillah Yusof
#Syed Saddiq
#Muar
#MoU
#peruntukan pembangkang
#Dewan Rakyat