'MoU perlu dibincang di antara PM dan PH, bukan keputusan MKT UMNO' - Anthony Loke
Afiezy Azaman
April 16, 2022 08:43 MYT
April 16, 2022 08:43 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri yang mewakili Kerajaan Persekutuan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian sebagai reaksi terhadap keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak meneruskan MoU tersebut pada 31 Julai ini.
Kata Ahli Parlimen Seremban itu, keputusan MKT UMNO adalah urusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya.
"Perlu ditegaskan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman di antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO.
"Justeru, pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan MKT UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan parti-parti dalam blok Kerajaan tentang garis masa MoU seperti dilaporkan media.
Jelasnya, bagi PH, isu yang paling penting adalah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.
"Dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiap siaga sepenuhnya menjelang Ogos 2022.
"Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang," ujarnya.