MoU Kerajaan-PH banyak kebaikan, wajar diteruskan - Salahuddin

Astro Awani
April 21, 2022 08:15 MYT
Berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di Johor Bahru semalam, Salahuddin berkata, beliau berharap khemah besar dibuka bagi semua pihak pembangkang duduk berbincang. - Foto Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Langkah meminda perlembagaan bagi membolehkan Akta Antilompat Parti digubal menjadi antara kejayaan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).
MoU yang tamat 31 Julai ini juga banyak memberi manfaat kepada kestabilan negara, politik dan kesihatan rakyat, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Beliau menjelaskan, keputusan untuk tidak menyambung MoU itu adalah dari UMNO, sedangkan ia ditandatangani antara PH dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"PH percaya kita di landasan yang betul apabila menandatangani MoU dengan PM. Banyak kritikan yang menyatakan kita cuba ambil langkah ke belakang, tetapi tidak begitu.
"Keduanya, beberapa pindaan perlembagaan dapat kita buat dan tidak mungkin akan berlaku tanpa MoU.
"Contohnya, pinda perlembagaan untuk mengizinkan Undi 18, memberi peluang kepada pengundi baru, mengeluarkan Agong dan Raja Melayu daripada senarai mengundi, dan yang paling penting ialah Akta Antilompat Parti," katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di sini semalam.
Politik | MoU kerajaan & pembangkang wajar diteruskan
Jelas Ahli Parlimen Pulai itu, MoU Kerajaan-PH itu wajar diteruskan kerana memberikan kebaikan kepada rakyat yang mahukan kelangsungan kestabilan negara pada fasa endemik COVID-19.
BACA: MoU kerajaan - pembangkang terus terpakai selagi Parlimen tidak dibubarkan
BACA: Kerajaan tak wajib bubar Parlimen jika MoU tamat - Anwar
Dalam pada itu, Salahuddin turut mengharapkan khemah besar dibuka bagi semua pihak pembangkang duduk berbincang.
Katanya, memaafkan dan melupakan perkara lalu penting untuk melihat kesepaduan poliik pembangkang.
BACA: PRU15: Khemah besar bukan lagi formula utama pembangkang
"Kita dalam proses berjumpa semua pihak. Ia salah satu Resolusi Port Dickson melibatkan Amanah, DAP, PKR pada April tahun lalu.
"Semua parti setuju dengan deklarasi konsep khemah besar. Keputusan Deklarasi Port Dickson boleh direalisasikan. Jangan putus asa di tengah jalan," tambahnya.
Jelasnya, pembangkang hanya perlu memusuhi musuh utama mereka iaitu Barisan Nasional.
BACA: PRU15 wajar dilaksana selepas MoU Kerajaan-PH tamat Julai ini - Bung Moktar
BACA: Teliti setiap aspek sebelum tamat MoU Kerajaan, PH - Muhyiddin
#Salahuddin Ayub #Akta Antilompat Parti #pinda perlembagaan #MoU kerajaan-PH
;