MOT, KKD dan komuniti teknologi, telekomunikasi bincang pelaburan kabel dasar laut
Afiezy Azaman
Julai 8, 2023 11:02 MYT
Julai 8, 2023 11:02 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan perbincangan bersama beberapa komuniti teknologi dan telekomunikasi dalam bengkel polisi yang dianjurkan secara bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysia Internet Exchange (MyIX).
Bengkel polisi yang berlangsung selama tiga jam itu turut dihadiri wakil daripada Telekom Malaysia, Time dotCom, Google, Microsoft, Meta dan Amazon Web Services, pada Jumaat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan turut meliputi kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dengan dunia.
"Pelaburan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa terhadap kabel dasar laut akan merancakkan lagi daya saing ekonomi kita dan membuka lebih banyak ruang pekerjaan berpendapatan tinggi.
"Pelabur mahukan polisi yang jelas, pasti dan serasi dengan perubahan zaman. Kementerian Pengangkutan berazam untuk bertindak sebagai penggerak ekonomi untuk Malaysia membawa masuk pelaburan yang lebih strategik.
"Pembaharuan dalam dasar dan undang-undang perkapalan domestik boleh memulakan gelung maklum balas positif yang mengakibatkan lebih banyak pelaburan ke dalam kabel dasar laut dan infrastruktur digital di negara kita," kata beliau dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Bengkel polisi itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Dalam bengkel yang sama, Loke berkata, pihaknya turut berkongsi dengan industri kejayaan melancarkan sistem pelesenan dalam talian baharu sejak 1 Julai 2023.
"Dibangunkan berdasarkan proses yang lebih diperkemas, sistem baharu itu memudahkan kelulusan pantas bagi kapal yang menjalankan pembaikan kabel dasar laut di perairan Malaysia dan maklum balas daripada pemain industri amat menggalakkan.
"Terima kasih MDEC dan MyIX kerana bersama-sama menganjurkan sesi dan membawa semua orang bersama-sama.
"Kepada wakil industri yang mendedikasikan masa berharga mereka ( malah ada yang terbang dari luar negara untuk menghadiri bengkel tersebut) kami amat menghargai usaha anda dan mengambil input anda dengan sangat serius," ujar beliau lagi.