Mohon permit untuk kerja, berkempen pada PRN Sarawak relevan - Dr Arnold Puyok

Lynch Cowan
Oktober 19, 2020 15:12 MYT
Dr Arnold Puyok berkata, peningkatan kes di Sabah selepas PRN baru-baru ini mungkin disebabkan kedudukan geografi sempadan yang berhampiran Filipina. FOTO: Astro AWANI
KOTA SAMARAHAN: Penganalisis Politik, Dr Arnold Puyok berpendapat permohonan permit kerja bagi kebenaran untuk bukan anak Sarawak berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah relevan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha kerajaan negeri dalam memastikan tidak berlaku peningkatan kes positif COVID-19 sepanjang dan selepas PRN Sarawak nanti.
“Dengan adanya permit itu, ia dilihat sebagai usaha kerajaan negeri mengawal pergerakan orang ramai dari kawasan berisiko untuk memasuki Sarawak bagi tujuan berkempen.
“Selain itu, kerajaan negeri juga pasti mempunyai inisiatif lain antaranya dengan memperketatkan kemasukkan orang luar dari zon-zon yang berisiko agar tidak memasuki negeri ini untuk berkempen,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyatakan bukan anak Sarawak harus memohon permit untuk berkempen menjelang PRN yang akan datang.
“Dengan langkah seperti ini, peningkatan kes positif COVID-19 dapat dikawal sebaiknya.
“Sekiranya berlaku peningkatan kes selepas kerajaan negeri menggariskan peraturan-peraturan ini, orang ramai tidak akan menyalahkan kerajaan negeri kerana langkah keselamatan sudah dilaksanakan sebelum berkempen lagi,” tegasnya.
Ujarnya lagi, jika dibandingkan dengan peningkatan kes di Sabah selepas PRN baru-baru ini, ia mungkin disebabkan kedudukan geografi sempadan negeri yang berbeza dengan Sarawak.
“Sempadan negeri Sabah adalah berdekatan dengan Filipina dan ia sukar untuk dikawal, namun situasi ini berbeza bagi negeri Sarawak.
“Di negeri Sarawak, sempadannya lebih teratur, terkawal dan Sarawak mempunyai undang-undang imigresen yang ketat, ini sekali gus dapat mengawal kemasukan orang luar dari kawasan berisiko tinggi COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI di pejabatnya di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Isnin.
#COVID-19 #Sarawak Memilih #PRN 12 #Dr Arnold Puyok #JPBN Sarawak #Unimas #Douglas Uggah Embas #Sabah #Filipina #Indonesia
;