Mohon maaf: DAP sudah 'move on', akan bantu UMNO dalam PRN - Nga Kor Ming

Amirrul Rabbani
Jun 11, 2023 19:31 MYT
Kor Ming bercakap pada sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke Bandar Raya Ipoh di Pasar Awam Kampung Simee, di Ipoh pada Ahad. - Foto Astro AWANI
IPOH: Semua 19 parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan diminta untuk terus memberi fokus mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain berbanding mengungkit sebarang kisah silam sesama sendiri.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata pihaknya sudah melupakan sengketa lama dengan UMNO dan bersedia membantu parti itu untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
“Kita sudah ‘move on’, malah Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pun sudah move on (lupakan sengketa lama antara dua parti ini).
“Dan fokus utama kita sekarang adalah bagaimana (DAP) untuk membantu UMNO, dan UMNO membantu DAP memperkukuhkan Kerajaan Malaysia Madani, demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara. Kita (DAP) akan sehabis baik membantu UMNO dalam PRN yang akan datang,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke Bandar Raya Ipoh di Pasar Awam Kampung Simee, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyeru semua pihak untuk bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan supaya momentum kejayaan yang dicapai ketika ini tidak terhenti.
Kor Ming juga memohon agar semua pihak turut memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan ketika ini memimpin negara dalam tempoh lima tahun ini demi kestabilan politik.
“Kita sudah berada di landasan yang betul dan yang paling penting kita sudah ‘move on’ dan saya mengajak Pemuda UMNO, sebagai generasi muda untuk berfikiran wawasan, dinamik, progresif dan terus ‘move on’,” katanya lagi.
Semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di ibu negara pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan menuntut permohonan maaf daripada DAP dan menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap parti itu.
Muhamad Akmal berkata, tindakan itu berupaya melembutkan hati ahli-ahli UMNO yang masih meragui kejujuran DAP untuk bersahabat.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata, desakan permohonan maaf oleh DAP terhadap UMNO tidak sepatutnya menjadi isu yang dibangkitkan semula.
#DAP mohon maaf #Nga Kor Ming #Pemuda UMNO #Kerajaan Perpaduan #PRN
;