Mohd Zaidi yakin rampas 'kerusi panas' Permatang Pauh, sedia jadi pendamai

Astro Awani
April 24, 2018 18:39 MYT
Mohd Zaidi (dua, kanan) bersama calon DUN bagi Parlimen itu (dari kiri) Suhai, Abu Bakar dan Anuar selepas menerima watikah calon untuk bertanding bagi PRU14 pada Majlis Penyampaian Watikah Calon BN negeri di Pejabat Gerakan hari ini. --fotoBERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, yakin parti itu mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali ‘kerusi panas’ itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Katanya, gerak kerja yang telah dilakukannya sejak dahulu, selain perpecahan yang sedang berlaku di dalam Pakatan Harapan ketika ini, secara tidak langsung akan memberi sedikit kelebihan buat BN.
"Permatang Pauh memang 'kerusi panas' selama ini, bukan saja di Pulau Pinang, tetapi di seluruh negara. Tetapi, suhu Permatang Pauh agak baik, disebabkan perpecahan berlaku dalam Pakatan Harapan.
"Ini beri kelebihan kepada BN, jadi pendamai dan pilihan terbaik, kepada rakyat Permatang Pauh," kata Mohd Zaidi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh.
Beliau yang pertama kali dicalonkan mewakili BN bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk bertanding dan berharap kemenangan berpihak kepada BN pada PRU kali ini.
Katanya, beliau sedia berdepan dengan lawannya, dan berharap rakyat Permatang Pauh dapat membuat pilihan dengan bijak dalam memilih wakil rakyat yang boleh membawa suara mereka.
Ujarnya, beliau tidak gentar berdepan dengan Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang diumumkan akan bertanding di kawasan kubu kuat parti pembangkang itu.
"Saya menghormati Nurul Izzah sebagai seorang pemimpin hebat dalam Pakatan Harapan. Bagaimanapun, atas nama kerajaan BN yang saya wakili, saya akan pastikan apa yang saya tawarkan kepada rakyat Permatang Pauh ini jauh lebih baik dari apa yang boleh diberi Nurul Izzah.
"Sekiranya beliau dipilih, bagi saya, yang penting saat ini adalah perkhidmatan dan bakti yang ingin saya curahkan kepada rakyat Permatang Pauh," katanya selepas majlis penyerahan watikah dan pengumuman calon BN di Pejabat Gerakan, di sini hari ini.
"Apa yang saya janji, komitmen masa dan tenaga akan dicurahkan sepenuhnya kepada rakyat sebagaimana yang telah saya lakukan sebelum ini. Saya akan terus dan akan mempertingkatkannya lagi, demi menjamin kebaikan seluruh Permatang Pauh, tanpa mengira bangsa dan agama," tambahnya.
Mohd Zaidi berkata, BN kali ini menurunkan empat calon anak tempatan di Permatang Pauh dan percaya gabungan mantap itu akan memberi kemenangan kepada BN.
Selain Mohd Zaidi, tiga yang lain ialah Suhai Sabudin di DUN Penanti, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin (Seberang Jaya) dan Anuar Faisal Yahaya (Permatang Pasir).
Pada 9 Mei ini, Mohd Zaidi dijangka berdepan Nurul Izzah dan calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudeen, dalam sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru.
#Barisan Nasional #BN #kerusi panas #MalaysiaMemilih #Mohd Zaidi Mohd Said #Permatang Pauh #PRU14
;