Mohd Shafie tak gentar berdepan Ramlee

Fifi Harteeny Marzuki
April 27, 2018 17:36 MYT
MOHD SHAFIE (empat kanan) bersama barisan calon dan penyokong Parti Warisan Sabah selepas majlis pelancaran manifesto dan penamaan calon.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tidak gentar berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Ramlee Marahaban di Parlimen Semporna di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Mohd Shafie berkata, beliau yakin dengan sokongan rakyat Semporna yang dahagakan perubahan kepimpinan kepada kerajaan yang baharu dan mampu menjaga kebajikan rakyat amnya dan hak negeri Sabah khususnya.
Menurutnya, kenyataan Ramlee yang mendakwa beliau akan berjuang habis-habisan tidak 'menggerunkan' Mohd Shafie sekali gus menjejaskan perjuangan Warisan kerana rakyat Semporna tahu memilih pemimpin yang terbaik untuk daerah itu.
"Serahkan kepada rakyat Semporna kerana mereka mempunyai kuasa untuk menentukan, saya tidak boleh cakap besar.
"Rakyat Semporna mempunyai kuasa untuk memilih wakil rakyat bagi mewakili mereka bukan hanya di parlimen malah di peringkat Dewan Undangan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran manifesto Warisan dan pengumuman calon warisan di PRU-14, di Kota Kinabalu di sini.
Sementara itu, Ketua Wira Warisan Datuk Azis Jaman turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat Sabah akan bersatu hati untuk menumbangkan BN pada PRU14 sejajar dengan senario kehadiran orang ramai di setiap jelajah warisan.
Azis yang akan berhadapan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan di Parlimen Sepanggar yakin, rakyat Sepanggar juga akan memilih Warisan bagi menerajui kepimpinan di kawasan itu selepas BN dilihat gagal dalan menyelesaikan masalah rakyat Sepanggar.
"Saya berdepan dengan seorang menteri yang telah lama terlibat dalam politik dan bila saya diamanahkan untuk menjadi calon di Sepanggar saya yakin rakyat akan memberikan sokongan kerana rakyat Sabah sudah muak dengan kepimpinan UMNO dan BN," katanya.
Dalam pada itu, Calon Warisan di Parlimen Penampang iaitu Darrel Leiking menafikan dakwaan bahawa rakyat Penampang telah hilang kepercayaan terhadap beliau selepas menyertai Warisan.
Darrel menyatakan, beliau tidak pernah mengkhianati rakyat Penampang kerana beliau tetap berpegang pada perjuangan untuk menentang BN walaupun telah menyertai Parti Warisan.
"Saya tertanya-tanya, apa janji saya pada tahun 2013 yang telah saya khianati kepada rakyat (Penampang), saya berjanji untuk menjatuhkan BN dan mendedahkan kesalahan mereka, dan sekarang saya masih menentang BN dan berjanji untuk terus mendedahkan salah laku mereka, berdasarkan senario ini saya hairan apabila ada dakwaan bahawa rakyat (Penampang) telah hilang kepercayaan terhadap saya," katanya.
Sementara itu, calon muda Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu Jo Anna Henley Rampas turut berharap agar rakyat Kiulu memberi mandat kepada beliau untuk menerajui kepimpinan daerah kecil berkenaan.
Jo Anna berkata, jika diberi mandat untuk menerajui kepimpinan daerah kecil itu, beliau berazam untuk membangunkan Kiulu menjadi sebuah daerah yang lebih maju berbanding dengan apa yang mampu diberikan oleh BN di kawasan berkenaan.
#gentar #Malaysia Memilih #MalaysiaMemilih #Mohd Shafie Apdal #PRU14 #Ramlee Marahaban #Semporna