Mohd Shafie calon PM: Perlu dibincang di peringkat kepimpinan pusat DAP, Amanah

Firdaus Azil
Jun 27, 2020 19:16 MYT
Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng berkata, cadangan tersebut perlu dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan terlebih dahulu.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (Amanah) melihat pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai bakal Perdana Menteri adalah pilihan baharu untuk mengembalikan mandat rakyat kepada Pakatan Harapan.
Dalam kenyataan yang ditandatangani Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu, mereka berkata ia suatu opsyen baharu mengembalikan Putrajaya kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Bagaimanapun, mereka berkata, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu.
“Seterusnya dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk diputuskan bersama,” kata mereka lagi.
Sumber Facebook mohdsabu1954
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa cadangan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut dipersetujui beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan lain.
Dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau hari ini, Dr Mahathir berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu pembincangan tidak formal pada 25 Jun lepas di Rumah Tamu Sabah, Kuala Lumpur, antara Shafie, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Selain itu, beliau berkata, mereka turut bersetuju menamakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan anak beliau Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.
#Anwar Ibrahim #Kuala Lumpur #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #Mohd Shafie Apdal #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #Perdana Menteri #Shafie Apdal #Timbalan Perdana Menteri
;