Mohd Rafiq kembali kepada UMNO
Shuhada Abdul Kadir
Februari 17, 2023 16:38 MYT
Februari 17, 2023 16:38 MYT
MELAKA: Teka-teki hala tuju politik bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen terjawab apabila mengesahkan kembali menyertai UMNO.
Beliau berkata, permohonan yang sudah dikemukakan beberapa minggu lalu itu juga telah diterima sebulat suara dan dipersetujui menerusi Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.
Katanya, keahlian yang berkuat kuasa pada 18 Mac ini turut mendapat sokongan barisan kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Saya sedar, keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, mungkin tidak dipersetujui mahupun diterima oleh semua pihak.
“Namun, saya yakin dan percaya perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan,”katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut ujarnya, keputusannya untuk kembali bersama UMNO bukan semata-mata kerana kedudukan parti itu yang telah berada dalam kerajaan perpaduan.
Katanya, penghijrahannya adalah ikhlas dan bersedia berjuang bersama kepimpinan UMNO Malaysia, kepimpinan UMNO Negeri Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan serta kepercayaan rakyat kepada parti itu.
“Saya sedar, kehadiran kembali kepada UMNO bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26 kerusi parlimen pada pilihan raya lalu.
“Dengan izin Allah, saya bersyukur apabila perjuangan saya dalam UMNO yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan kembali,” tambahnya.
Mohd Rafiq sebelum ini bertindak keluar daripada parti dan melepaskan semua jawatannya pada November lalu selepas tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.