Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas - Abdul Hadi

Astro Awani
Februari 11, 2022 11:55 MYT
Menurut Abdul Hadi, Mohd Khairuddin kini hanya ahli Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti. - Gambar fail
MARANG: Selepas digugurkan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat kini bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama parti itu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata keputusan pengguguran Mohd Khairuddin dilakukan berikutan masalah disiplin Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata pengguguran jawatan itu berkuatkuasa pada Khamis.

“Oleh kerana pelantikan beliau dalam Majlis Syura oleh Jawatankuasa Pas Pusat maka Pas Pusat membatalkan pelantikan itu.
“Maka dia tak jadi Ahli Majlis Syura lagi dan (jika) nak jadi Setiausaha Majlis Syura mesti ahli Majlis Syura, maka gugurlah daripada Majlis Syura dan (jawatan) Setiausaha Majlis Syura,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.

Jelasnya lagi, dengan pengguguran itu Mohd Khairuddin kini hanya ahli biasa dalam parti itu.

Terdahulu Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.
Pada Muktamar Pas ke-67 November tahun lalu, Mohd Khairuddin antara tiga pemimpin tertinggi parti yang dilantik semula menduduki Ahli Jawatankuasa bagi sesi 2021-2023 selepas tewas pada pemilihan.
#Mohd Khairuddin digugurkan #majlis syura ulama PAS #Abdul Hadi Awang #masalah disiplin
;