Mohd Amar semakin pulih, sedang berehat di rumah - MB Kelantan

Muhafandi Muhamad
April 6, 2022 10:30 MYT
Mohd Amar (gambar) disahkan positif COVID-19 dan kini sedang berehat di rumah dan dilaporkan semakin pulih. -Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah disahkan positif COVID-19 dan kini sedang berehat di rumah dan dilaporkan semakin pulih.
Perkara itu disahkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
"Berehat setelah jangkitan COVID-19 baru-baru ini.
"Kita suruh dia berehat, insya-Allah beberapa hari lagi dia akan balik ke pejabatnya.
"Dia mohon berehat, kita berilah. Kita mahu dia betul-betul sihat. Ini pun nampak gagah, dah bercakap kuat dah... kita berdoalah," kata Ahmad.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan Mohd Amar yang dilaporkan kurang sihat selepas dijangkiti COVID-19.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas sebelum ini dilaporkan mengalami gejala COVID-19 selepas pulang dari kempen Pilihan Raya Negeri Johor pada 13 Mac lepas.
Susulan itu, beliau tidak menghadiri beberapa program kerajaan negeri termasuk sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang berlangsung dari 28 hingga 31 Mac lalu.
Difahamkan Mohd Amar mengalami gangguan saraf yang menyukarkan pergerakannya susulan dijangkiti COVID-19.
Ahmad pada masa sama memohon rakyat Kelantan mendoakan kesembuhan Mohd Amar.
#Ahmad Yakob #Mohd Amar Nik Abdullah #COVID-19 #jangkitan
;