Mohamaddin Ketapi jawab isu dakwa pencerobohan Lahad Datu 'sandiwara', mohon maaf

Qaisara Umaiyah, Zulhafiiz Brahim
September 21, 2020 16:43 MYT
Mohamaddin berkata, menegaskan tidak berniat merendah-rendahkan pasukan keselamatan ketika mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara'. - Astro AWANI
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, menegaskan tidak berniat merendah-rendahkan pasukan keselamatan ketika mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara'.
Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu sebaliknya berkata, kenyataannya diputar-belit oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya tidak pernah menghina anggota keselamatan, tetapi saya menjelaskan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu dalam memantapkan aset keselamatan sempadan negara sehingga memungkinkan kejadian pencerobohan berlaku.
"Saya tidak pernah memperkecilkan, apatah lagi menghina anggota keselamatan yang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara ketika itu," katanya.
Terdahulu, beliau dilaporkan mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara' ketika berucap semasa kempen untuk calon Warisan baru-baru ini.
Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan 'perang' dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.
BACA: Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara
BACA: Lahad Datu: Berhenti rendahkan maruah pasukan keselamatan negara - Pemuda UMNO
Mengulas lanjut, Mohamaddin mendakwa, kenyataannya diputar-belit oleh parti lawan khususnya dari Semenanjung.
"Ini adalah permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah Warisan.
"Sekiranya kerajaan terdahulu mengambil (memberi) keutamaan isu pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah, kejadian seperti ini (tragedi Lahad Datu) tidak akan berlaku," dakwanya.
Mohamaddin berkata, tiada keperluan baginya untuk meminta maaf mengenai isu itu namun beliau bersedia berbuat demikian.
BACA: Kronologi pencerobohan pantai timur Sabah
BACA: Kronologi Ops Daulat
"Untuk tidak memanjangkan isu ini saya mengaku bersalah dan meminta maaf (atas) video yang ditularkan itu (jika ia dipergunakan) bertujuan untuk mengguris hati anggota keselamatan keseluruhannya.
"Dalam video itu, (sebenarnya) saya mempersoalkan kenapa setiap kali pilihan raya terdapat tuntutan ke atas negeri Sabah," katanya.
#calon Warisan #Lahad Datu #Mohamaddin Ketapi #pengganas #perang #PRN Sabah #Sabah Memilih #serangan #Tanduo #tragedi Lahad Datu
;