Mohamad sambut baik Zahid kembali bertugas

Sinar Harian
Jun 30, 2019 21:43 MYT
Mohamad berkata, kehadiran Ahmad Zahid sama sekali tidak mengganggu usaha penstrukturan semula parti yang telah dilaksanakannya sebelum ini ketika menjalankan tugas-tugas Presiden. - Gambar fail
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengalu-alukan keputusan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan kembali bertugas selepas bercuti sejak Disember tahun lalu.
Menurut Mohamad, selaku Presiden UMNO yang dipilih untuk memimpin parti sehingga 2021, kemunculan kembali Ahmad Zahid sememangnya dinanti.
Memetik laporan Utusan Online, Mohamad mengakui Ahli Parlimen Bagan Datuk itu wajar untuk kembali bertugas untuk sama-sama menguruskan parti.
“Alhamdulillah kalau Ahmad Zahid menyatakan untuk kembali bertugas.
“Kita dapat meneruskan agenda memperkasakan parti serta menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2019 di sini hari ini.
BACA: Zahid kembali sebagai Presiden UMNO
Ditanya sama ada kehadiran Ahmad Zahid boleh mengganggu usaha penstrukturan semula parti yang telah dilaksanakan beliau sebelum ini ketika menjalankan tugas-tugas Presiden, katanya ia tidak sama sekali.
"Saya menjalankan tugas presiden atas asas yang dipersetujui dan semuanya juga atas kerjasama pihak Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
"Tiada isu mengatakan saya membuat perkara lain kerana tiada apa kelainan yang dibuat," katanya.
Ahmad Zahid secara terbuka hari ini mengumumkan untuk kembali menerajui parti selepas bercuti sejak 18 Disember tahun lalu ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk, Perak.
Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen UMNO keluar parti serta kritikan bahawa UMNO tiada hala tuju di bawah pimpinannya.
#bercuti #kembali bertugas #Mohamad Hasan #UMNO #Zahid Hamidi
;