Mohamad berdepan cabaran pastikan UMNO relevan - Dr Sivamurugan
Wan Syamsul Amly
Disember 21, 2018 12:20 MYT
Disember 21, 2018 12:20 MYT
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan kini berdepan cabaran besar untuk memastikan parti sentiasa relevan dalam lanskap politik negara.
Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian bagaimanapun berkata, pelantikan Mohamad sendiri sudah pasti kerana kewibawaannya dalam memainkan peranan sebagai pemangku Presiden UMNO.
Jelasnya, cabaran Mohamad adalah mengambil alih parti pada saat orang Melayu masih kecewa dan merasakan berada dalam keadaan perjuangan UMNO selama ini telah diketepikan
"Cabaran besar kepada beliau untuk mengatasi krisis ideologi, krisis nilai, krisis moral, krisis legitimasi kepimpinan yang dihadapi UMNO sepanjang beberapa bulan lepas selepas tewas di dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Dalam konteks ini, sudah pasti yang mahu dilihat adalah, sejauh manakah beliau boleh memberi tawaran baru kepada UMNO?
"Bagaimana wujud formula untuk memastikan bahawa parti dapat pulih? Dan kalau kita lihat ucapan sebagai Timbalan Presiden beberapa bulan lepas, beliau kata, apa yang perlu adalah kebangkitan Melayu baru.
"Apakah itu mampu dilakukan apabila sudah berada dalam kedudukan untuk merencanakan apa sahaja bentuk yang mahu dilakukan untuk UMNO?" soalnya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Pada Selasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid berkata, ia selaras harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu "UMNO bangkit'.
Dalam pada itu, kata Sivamurugan, Mohamad kini harus melihat penerimaan ahli dan berhati-hati dengan perubahan yang akan dilakukan.
"Pada waktu sama, sudah pasti ada yang menerima dengan syarat beliau mampu untuk membersihkan imej parti dan sudah pasti ada yang mahu melihat, dibubarkan sahaja parti ini yang dirasakan tenat dalam kalangan orang Melayu.
"Sementara itu, ada sebahagian yang menolak kepimpinan ini dan merasakan perlu ada pemilihan baru. Dan, ada sebilangan lagi yang melihat kenapa tidak dimulakan kerjasama dengan Bersatu.
"Ada juga melihat UMNO perlu mencari gabungan dengan parti Bersatu supaya dapat menyekat keluar beramai-ramai gelombang ketiga yang dicanangkan selepas gelombang satu dan dua berlaku," katanya.
Selain Mohamad, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memangku tugas Timbalan Presiden parti itu.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Pengurusan parti, pada Khamis.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Annuar Musa
#Melayu
#Mohamad Hasan
#penganalisis
#politik
#PRU14
#relevan
#Sivamurugan Pandian
#UMNO