Mohamad Ariff akur digugurkan sebagai Speaker Dewan Rakyat
Astro Awani
Julai 13, 2020 15:51 MYT
Julai 13, 2020 15:51 MYT
Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof akur dengan pengosongan jawatannya sebagai Yang Di-Pertua Dewan Rakyat dan menyifatkan proses tersebut telah dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Mohamad Ariff berkata sejak dari awal beliau telah menjelaskan bahawa akan mengosongkan jawatan tersebut sekiranya ia dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi diri saya sendiri, saya tiada masalah sedikitpun kerana pada awal saya beritahu saya hanya akan keluar jika Perlembagaan dipatuhi.
"Apa yang berlaku ialah Perlembagaan dipatuhi dan ada usul serta undian dibuat. Akhir kata, Ahli Parlimen yang putuskan," katanya pada sidang media.
Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan usul dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya.
Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen yang diperoleh menerusi undian secara belah bahagian.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon memaklumkan seramai 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 109 menolak, seorang Ahli Parlimen tidak hadir.
Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Joniti Ongkili tidak hadir.
Kekosongan jawatan tersebut diisi oleh bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun.
Terdahulu, Muhyiddin membentangkan usul itu sebelum dibahaskan kira satu jam 10 minit oleh empat Ahli Parlimen, masing-masing mewakili kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hasan ketika sesi penggulungan menegaskan usul yang dibawa Muhyiddin supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
#Azhar Azizan Harun
#Dewan Rakyat
#Mohamad Ariff Md Yusof
#Muhyiddin Yassin
#Parlimen
#Perlembagaan
#Yang Di-Pertua