'MN Sabah tak dibubar, akan selesai isu 24 jam' - Annuar Musa

Sinar Harian
Ogos 31, 2024 17:00 MYT
Annuar (tengah) ketika sidang akhbar selepas hadir pada Konvensyen Pas di Kota Kinabalu pada Sabtu.
KOTA KINABALU: Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa MN Sabah tidak dibubarkan dan ia berjalan seperti biasa dengan sokongan daripada timbalan dan naib pengerusi serta ahli jawatankuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
Beliau bagaimanapun berkata, perjumpaan akan diadakan pada petang Sabtu dengan NGO tersebut bagi mendapat gambaran sebenar mengenai dakwaan pembubaran MN Sabah dan seterusnya menyelesaikan isu itu dalam tempoh 24 jam.
"MN Sabah tidak dibubarkan, tiada siapa yang ada kuasa untuk membubarkan. Perlembagaan MN, jawatankuasa di peringkat negeri dilantik oleh Pusat dan ia tidak boleh dibubarkan oleh sesiapa.
"Tapi timbalan masih ada, naib-naib masih ada, ahli jawatankuasa (AJK) masih ada, jadi saya ambil sikap terbuka. Sekejap lagi saya berjumpa MN Sabah dan ia masih diteruskan di Sabah.
"Tak perlu bimbang tentang MN, Insya-Allah selesai dalam 24 jam," jelasnya dalam sidang akhbar ketika hadir pada Konvensyen Pas Sabah di sini pada Sabtu.
Ditanya mengenai dakwaan ada pihak yang hilang kepercayaan terhadapnya, Annuar menjelaskan isu itu berbangkit apabila ada pihak yang mahu menjadikan MN sebagai parti politik namun cadangan itu telah ditolaknya.
"Itulah sebab mungkin MN itu cuba dipolitikkan, nasihat saya biarlah kekal jadi NGO. Sebenarnya dua minggu lepas Pengerusi MN Sabah hantar minit mesyuarat kepada saya mencadangkan untuk MN jadi parti MN dan dicadangkan jadi presiden.
"Jadi dua minggu lepas kuat sekali kepercayaan kepada saya, selepas dua minggu tiba-tiba jadi tak percaya.
"Jadi saya nak tahulah yang percaya itu kenapa, yang tak percaya tu kenapa atau mungkin masalah satu dua individu," katanya.
Beliau yang juga AJK Kerja Pas Pusat turut berkata, dia tersepit dengan keinginan pihak tertentu yang mahu menjadi Ketua Menteri Sabah pada pilihan raya akan datang.
"Individu tersebut mengisytiharkan mahu jadi Ketua Menteri Sabah, jadi saya pun bimbang, pilihan raya pun belum, pengerusi penaja MN Sabah mengisytiharkan dia mahu jadi Ketua Menteri Sabah.
"Jadi saya tersepitlah di situ, saya dalam parti Pas, Pas pun tidak isytihar dapat jadi Ketua Menteri tiba-tiba pengerusi MN yang saya presidennya diisytiharkan kepada media dan media pula siarkan perkara itu.
"Benda itu dia nak jadi Ketua Menteri, jadi kalau dia nak jadi Ketua Menteri saya terima kasihlah dia lepaskan jawatan dalam MN supaya MN boleh berjalan mengikut dasarnya," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menasihatkan jika pihak terbabit ingin terus berpolitik maka mereka boleh terus memasuki parti politik tanpa menjadikan MN sebagai sebuah parti.
"Jadi yang nak berpolitik masuk parti, MN ini biarkan ia sebagai satu NGO menghidupkan semangat MN iaitu mengutamakan perpaduan terutama dalam kalangan kelompok bumiputera.
"Melayu Islam hendaklah bersatu padu supaya ada kekuatan dan tanpa meminggirkan kelompok lain, itu falsafah MN jadi MN ini kena mesra, jangan dipolitikkan," katanya.
Sebelum itu, Pengerusi MN Sabah, Jismit Japong dalam sidang akhbar pada Jumaat mengumumkan MN Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada Khamis.
Keputusan itu dibuat kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presidennya dan kepimpinan pusat NGO tersebut. - Sinar Harian
#MN Sabah #Annuar Musa #bubar #Muafakat Nasional