MKT UMNO tidak lagi sah selepas 30 Jun 2021 - Peguam

Astro Awani
Ogos 8, 2021 19:57 MYT
Sebelum ini, MKT UMNO mengumumkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan bermula pada 7 Julai lalu. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peguam Aktivis dan Politik, Rizal Abdullah mendakwa jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak lagi sah selepas 30 Jun 2021 kerana sudah cukup tiga tahun pelantikannya.
Pandangan itu disuarakan di sebalik kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa MKT parti itu masih sah pada Sabtu.
Tegas Rizal, bukan sahaja kuasa MKT sudah tiada bahkan kuasa Setiausaha Agung parti itu juga boleh dipersoalkan.
“MKT, tempohnya dah tamat pada 30 Jun baru-baru ini, cukup tiga tahun sebab kalau berpandukan kepada Perlembagaan UMNO sendiri, Fasal 9.3, jawatan UMNO temasuk MKT hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan Bahagian setiap tiga tahun sekali.
BACA: Penangguhan pemilihan UMNO tidak sah, kata RoS
“Perkataan di sini ialah “hendaklah”, ia bukan pilihan, anda kena buat. Jika tamat tempohnya, tiada peruntukan langsung (dalam Perlembagaan UMNO) bahawa mereka masih boleh memegang jawatan walaupun sebagai caretaker.
“Ini termasuk jawatan Setiausaha Agung sendiri di bawah fasal 9.6. fasal 9.6 Perlembagaan UMNO menyatakan Setiausaha Agung pun tempoh dia berjawatan adalah sama dengan MKT,” katanya kepada Astro AWANI.
Justeru, katanya, sekiranya MKT sudah tidak berjawatan dan tidak berkuasa, kuasa Setiausaha Agung juga boleh menjadi tanda tanya.
Politik | Penangguhan pemilihan UMNO tidak sah - Peguam
Pandangan hampir sama juga disuarakan seorang lagi peguam Syed Khaled Syed Taha yang menyatakan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) jelas menyatakan pelantikan MKT UMNO tamat pada 30 Jun lepas.
“RoS adalah penentu dalam isu-isu pertubuhan dalam negara. Surat dikeluarkan RoS adalah jelas mengatakan bahawa MKT, sesi pada tahun ini telah tamat. Oleh kerana itu, penangguhan diminta atau diputuskan MKT adalah tidak sah.
BACA: Penangguhan pemilihan MKT UMNO tidak sah, keputusan RoS satu taktik biasa - Penganalisis
“Pihak RoS juga telah mengarahkan pemilihan dilakukan secepat mungkin. Saya berpendapat kenyataan pihak RoS lebih patut diguna pakai (daripada kenyataan UMNO. Namun dalam Akta Pertubuhan 1966, UMNO boleh mengemukakan rayuan kepada pihak pendaftar untuk menjelaskan pendirian mereka.
“Jikalau pihak pendaftar bersetuju dengan alasan diberikan, mereka boleh bersetuju untuk ‘menghalalkan’ penangguhan tersebut,” ujarnya.
Sebelum ini, MKT UMNO mengumumkan penangguhan pemilihan parti selama 18 bulan bermula pada 7 Julai lalu.
Bagaimanapun, pada Jumaat, Ketua Pengarah RoS Jasri kasim menjelaskan penangguhan itu tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021.
Politik | Sidang media Setiausaha Agung UMNO
Begitupun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa penangguhan Pemilihan UMNO telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 24 Jun 2021.
Beliau berkata, keputusan itu yang dibuat berdasarkan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO dimuktamadkan selepas mengambil kira pandangan RoS sendiri selain Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
#UMNO #Penangguhan #mkt #pemilihan #ros #Ahmad Maslan #Setiausaha Agung #SU Agung #Pemilihan UMNO #Kementerian Kesihatan #KKM #Majlis Keselamatan Negara #MKN #peguam #tidak sah #tangguh
;