MKT UMNO sesi 2023-2026 adakan mesyuarat pertama hari ini

Bernama
Mac 22, 2023 16:42 MYT
Pimpinan baharu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 hingga 2026 mengadakan mesyuarat pertamanya di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, hari ini. - Foto Facebook/UMNO Online
KUALA LUMPUR: Pimpinan baharu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sesi 2023 hingga 2026 mengadakan mesyuarat pertamanya di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Antara pemimpin tertinggi yang kelihatan hadir ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tiba kira-kira 1.30 tengah hari.
Hadir sama adalah beberapa Ahli MKT iaitu Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Datuk Lokman Noor Adam dan Isham Jalil.
Mohd Sharkar ketika ditemui pemberita berkata antara agenda mesyuarat pertama itu adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menggariskan hala tuju baharu serta mengemukakan beberapa isu yang perlu diberi tumpuan terutama dalam berhadapan pilihan raya di enam negeri nanti.
"Kedua, mungkin Presiden UMNO akan melantik Ahli Majlis Tertinggi tambahan dan sebagainya," katanya dan menambah mesyuarat berkenaan juga akan mengadakan majlis suai kenal antara ahli MT yang baharu dan lama.
Mohd Sharkar berkata seramai empat muka baharu dalam MT kali ini iaitu Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan dan Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sabtu lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan pemenang jawatan Naib Presiden UMNO bagi sesi 2023-2026.
Antara lain yang menang jawatan Ahli MT adalah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
-- BERNAMA
#Mesyuarat MKT UMNO #Majlis Kerja Tertinggi UMNO #mesyuarat pertama #Ahmad Zahid Hamidi
;